fbpx
ABU mendedahkan pernah cuba direkrut oleh Hambali untuk membuat serangan seperti insiden pengeboman di Bali.

Eksklusif: Ajaran JI sudah terpesong, Hambali arah bom gereja, tempat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Demi ­Allah, saya pernah direkrut oleh Hambali (ketua operasi Jemaah ­Islamiah), tetapi jihad yang saya belajar sebelum ini tidak membenarkan untuk mengebom ge­reja atau tempat awam.”

Bekas ahli militan JI, Abu (bukan nama sebenar) berkata, perjuangan kumpulan pengganas itu bagaimanapun disifatkan jauh terpesong sehingga membenarkan aktiviti pembunuhan beramai-ramai dan melakukan kerosakan terhadap harta benda awam selepas kematian ketua­nya, Abdullah Sungkar.

Bagi Abu, 58, perjuangan jihad yang dipelajarinya pada hujung tahun 1980-an tidak membenarkan anggotanya menyerang rumah ibadat seperti gereja, pusat hiburan, bank dan tempat-tempat awam lain.

“Hambali cuba rekrut saya untuk membuat sera­ngan seperti insiden pengeboman di Bali, namun saya tolak kerana perjuangan jihad mereka berbeza.

“Ramai dalam kalangan kami (ahli) militan tidak bersetuju dengan ideologi Hambali. Hanya segelintir yang masih sokong. Bagi yang tidak menyokong, kami dianggap tidak sekepala dan ‘musuh’.

“Saya tidak terlibat dalam pengeboman dan serangan ge­reja sebaliknya melatih ahli-ahli dari segi teori, taktikal dan persediaan peperangan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Abu, sepanjang menyertai JI selepas berguru de­ngan Ustaz Abdullah Sungkar, dia tidak pernah terfikir atau merancang untuk menyerang negara sendiri kerana perkara itu antara perkara yang dilarang oleh ‘mentornya’.

Abu berkata, malah sewaktu operasi untuk menangkap Hambali di Banting, Selangor pada 1990-an, dia nyaris menjadi ‘mangsa’ kerana disangka pemimpin kumpulan militan tersebut.

“Waktu polis datang, ketika itu saya tiada di rumah. Sebaik sampai di rumah, mereka bertanya adakah saya Hambali, jika saya mengaku sudah tentu peluru menembusi kepala saya,” kata­nya yang memberitahu Malaysia merupakan tempat kumpulan militan untuk mencari dana.

Jelasnya, kumpulan militan JI akan melakukan serangan ke atas individu yang dianggap ‘taghut’ atau tidak sehaluan de­ngan perjuangan mereka.

Bagi kumpulan tersebut, darah musuh yang menentang perjuangan mereka adalah halal untuk dibunuh.

“Ustaz Abdullah tegas orang­nya, ketika hayat beliau, tiada siapa berani minta izin buat operasi (pengeboman dan serangan) kecuali peperangan di Afghanistan,” katanya.

Namun, sejak Abu Bakar Ba’asyir mengambil alih kumpulan tersebut, kata Abu, berlaku banyak perpecahan di dalam JI sehingga mewujudkan beberapa kumpulan serpihan yang mempunyai ideologi berbeza seperti Islamic State (IS).

“Kepimpinan era Abu Bakar ini tidak setegas Ustaz Abdullah. Setiap rancangan (serangan) hanya beritahu sahaja dia (Abu Bakar) dan dia akan merestuinya. Kadang-kadang dia tak tahu pun (secara) terperinci serangan yang akan dilakukan.

“Mereka berpegang kepada fahaman ‘darah halal’, kafir jika mengamalkan sistem demokrasi. IS juga tidak mengiktiraf Palestin, sama seperti di Afghanistan mereka tidak iktiraf Taliban.

“Gerakan IS cukup berbahaya, silap-silap JI sendiri akan jadi sasaran mereka. Orang seperti saya juga mungkin menjadi sasaran mereka sebab dianggap sebagai munafik.

“Dari apa yang saya kenal, Abu Bakar ini juga dia tidak tegas orangnya, berbanding dengan Ustaz Abdullah yang tidak pernah sekalipun mengarah atau membenarkan serangan di ­Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN