SAUDARA PENGARANG,
Cikgu Din akhirnya dapat menjaga isterinya yang menghidap kanser. Dia bukan sahaja dapat pulang ke Semenanjung untuk menyempurnakan kebajikan isterinya, malah diberikan cuti daripada mengajar di sebuah sekolah di Kanowit, Sarawak.
Tahniah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana cakna dengan keadaan Cikgu Din. Kisah guru itu merupakan satu daripada ribuan lagi keluh kesah yang dialami oleh cikgu-cikgu di seluruh negara.
Kepada yang bernasib baik, masalah mereka dapat diselesaikan tetapi bagi kes yang terlepas pandang, akan berdepanlah dengan situasi itu sampai bila-bila.
Saya yakin nasib Cikgu Din ini berubah kerana keperihatinan netizen yang menularkan kisah duka lelaki itu.
Kuasa tular pada zaman ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh membawa kebaikan atau keburukan dengan pantas.
Kisah Cikgu Din mengajar kita bahawa kasih sayang antara manusia masih merupakan faktor terkuat untuk menawan hati. Cuba bayangkan apa yang akan terjadi jika KPM tidak cakna dengan hal ini dan lebih sedih jika isteri Cikgu Din itu terabai kebajikannya.
Berapa ramai cikgu-cikgu yang memohon untuk bertukar tempat kerja kerana berjauhan dengan pasangan masing-masing masih belum lagi diluluskan.
Anak Desa
Kemaman, Terengganu















