KUALA TERENGGANU – Seorang kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memanfaatkan bakat terpendamnya dalam menghasilkan diorama atau miniatur tiga dimensi (3D) untuk meraih pendapatan sampingan sehingga mencecah RM9,000 sebuah.
Mohd. Ihsan Mohd. Saidi, 38, berkata, dia mula berjinak-jinak menghasilkan diorama sejak sembilan tahun lalu.
“Pada mulanya, saya menghasilkan diorama rumah berlatar suasana kampung menggunakan lidi dan batang aiskrim untuk mengisi masa lapang dan dijadikan koleksi peribadi.
“Namun, ramai yang berminat untuk membuat tempahan termasuklah dari jabatan dan agensi kerajaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuarters LKIM Terengganu, Kampung Chendering di sini semalam.
Mohd. Ihsan berkata, setiap diorama yang dihasilkan dijual pada harga antara RM150 hingga RM9,000 sebuah.
Tambahnya, dia mengambil masa antara sehari hingga sebulan untuk menyiapkan setiap tempahan yang diterima bergantung kepada saiz.
“Diorama paling mahal pernah dihasilkan ialah model suasana majlis perkahwinan tradisional di kampung yang dibeli Muzium Negeri Terengganu pada harga RM9,000 pada dua tahun
lalu.
“Paling mencabar pula adalah diorama Muzium Sungai Lembing yang memerlukan ketelitian sehingga memaksa saya beberapa kali menukar bahan dan rekaan,” katanya.
Mohd. Ihsan berkata, diorama paling popular yang sering ditempah pelanggan pula ialah model garaj kereta terutama dalam kalangan peminat kereta mainan ‘Hot Wheels’.
“Penghasilan diorama memerlukan ketelitian yang tinggi dan kreativiti serta kos yang agak tinggi.
“Kebanyakan bahan menghasilkan diorama perlu dibeli secara dalam talian, manakala mesin cetakan 3D pula cuma berada di Lembah Klang,”
katanya.














