fbpx
Orang ramai di Hong Kong mengambll peluang menyertai pertandingan itu untuk merehatkan diri.

Populariti pertandingan uji kemampuan termenung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETANG itu, dua beranak, Gary Xiong, 40, dan anak lelakinya yang berusia 12 tahun, Kai-nam tidak sabar untuk ‘tidak berbuat apa-apa’ selama 90 minit.

Kedua-dua mereka merupakan sebahagian daripada lebih 1,200 orang peserta yang menyertai pertandingan International Space-Out Competition yang diadakan di halaman bangunan PMQ,

Hong Kong yang memerlukan peserta untuk hanya duduk diam tanpa melakukan sebarang aktiviti secara terus-menerus selama 90 minit.

Peserta juga tidak dibenarkan untuk tidur atau bermain telefon bimbit. Mereka hanya perlu membentangkan tikar yoga yang dibawa bersama untuk pertandingan itu dan duduk termenung sehingga acara tamat.

Xiong berkata, dia melihat acara yang berlangsung pada 5 Oktober lalu itu sebagai peluang yang baik untuk dia berehat seketika.

“Saya rasa acara ini amat menarik. Peluang sebegini yang membolehkan kita memperlahankan aktiviti dalam hidup adalah amat berharga, khususnya bagi rakyat di bandar besar seperti Hong Kong,” ujarnya.

International Space-Out Competition merupakan satu pertandingan unik yang berasal dari Korea Selatan dan dimulakan pada tahun 2014.

Konsepnya datang daripada seorang artis visual, Woopsyang, 49, sebagai mencabar stigma terhadap aktiviti termenung dan tidak berbuat apa-apa.

Wanita itu dalam satu temu bual di rancangan YouTube berkata, dia menyifatkan aktiviti itu sebagai ‘mematikan suis’ pada badan buat sementara waktu.

“Ia ibarat meletakkan mod tidur pada komputer dan bukan mematikannya secara kekal.

“Sebagai seorang artis, saya cuba membahagikan orang kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah orang yang menjalani satu kehidupan sibuk dan kumpulan kedua pula adalah orang yang tidak berbuat apa-apa di sebuah bandar yang sibuk.

DENIS diangkat sebagai pemenang pertandingan International Space-Out Competition di Hong Kong baru-baru ini.

“Bagi saya, saya tidak kisah siapa yang menang kerana apa yang penting adalah maksud yang boleh disampaikan menerusi pertandingan ini.

“Saya berharap agar peserta boleh betul-betul mengosongkan minda mereka dan menikmati proses pertandingan ini,” katanya.

Kongsi Woopsyang, sedekad lalu, dia merupakan mangsa kepada burnout, menyebabkan dia berasa tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

Ia juga menyebabkan Woopsyang menjadi resah, kerana risau apabila melihat dirinya tidak berbuat apa-apa.

“Saya kemudiannya terfikir, mengapa saya berasa resah jika hanya duduk tanpa berbuat apa-apa? Kemudian saya melihat orang di sekeliling saya yang sentiasa sibuk tiap masa.

“Saya menyedari bahawa sebenarnya, seseorang itu memerlukan banyak keberanian untuk berhenti dan tidak berbuat apa-apa serta lebih seronok jika kita semua boleh mencari masa untuk tidak berbuat apa-apa bersama-sama,” katanya yang hadir bagi merasmikan pertandingan itu di Hong Kong.

Peserta hanya perlu duduk diam tanpa sebarang aktiviti. Sekiranya peserta bercakap, tidur atau bergerak secara berlebihan, maka peserta akan disingkirkan daripada pertandingan.

Biarpun kedengaran mudah, namun untuk menang, peserta perlu betul-betul berada dalam keadaan relaks dan tenang, memandangkan degupan jantung mereka akan diperiksa setiap 15 minit.

Peserta dengan rekod degupan jantung terbaik, tenang atau stabil dalam menjalani ‘kehidupan’ tidak buat apa-apa itu akan muncul sebagai juara.

Menjadi kecenderungan ramai orang, sampai masanya akan berasa resah apabila tidak berbuat apa-apa secara berterusan, di situlah juga terletak cabaran pertandingan.

Pertandingan itu merupakan salah satu eksport budaya Korea Selatan yang sejak kebelakangan ini meraih populariti di peringkat antarabangsa.

Ketika diadakan buat pertama kalinya di kawasan lapang di depan dewan bandar raya Seoul pada 2014, tiada sesiapa menyangka ia akan menarik perhatian dunia dan turut diadakan di beberapa buah bandar termasuk Tokyo, Jepun; Taipei, Taiwan; Beijing, China dan Rotterdam, Belanda.

Begitu pun, Hong Kong khususnya telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap pertandingan itu dan sudah pun menganjurkannya sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2018 dan 2024.

Juara International Space Out Competition Hong Kong tahun ini, Denis Kwan Hong-wang yang juga merupakan ahli psikologi menyifatkan tindakan mencuri masa untuk kesejahteraan diri adalah amat penting.

“Asas kepada acara termenung atau tidak melakukan apa-apa ini adalah supaya kita boleh memberikan masa buat diri sendiri.

“Dalam kehidupan harian, khususnya buat penduduk di Hong Kong, kita sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan harian seperti kerja, keluarga dan juga kehidupan sosial,” katanya.

Jejaka berusia 30-an itu menambah biarpun adakalanya kita mahu mengambil masa buat diri sendiri untuk tidak berbuat apa-apa, namun kita lazimnya akan berasa bersalah kerana bimbangkan tanggapan orang lain yang melihat perbuatan itu sebagai malas dan tidak produktif.

“Hakikatnya, mengambil masa untuk diri sendiri sebegini adalah sesuatu yang memberi manfaat kepada diri kita,” katanya.

Dia turut mengingatkan orang ramai bahawa sekiranya mereka berasa tidak mempunyai masa untuk diri sendiri, itu sebenarnya menjadi petanda bahawa mereka perlu menjaga diri sendiri demi kesejahteraan mental.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN