fbpx
Seorang pekerja membersihkan bilik di Hotel Adya di Pekan Kuah, Langkawi.

‘Kalau bilik hotel kotor, jangan marah kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Pihak hotel perlu menambah tenaga kerja sehingga dua kali ganda hanya untuk mengemas bilik sekiranya mengikut saranan pelaksanaan penginapan di hotel selama 23 jam.

Pengurus Besar Hotel Adya, Syed Muhammad Firdaus Syed Putra berkata, hotelnya kini mempunyai 25 pekerja yang ditugaskan untuk mengemas bilik.

Katanya, masa diperlukan untuk mengemas setiap bilik bagi seorang pekerja berpengalaman adalah antara 15 hingga 25 minit.

“Kalau kami hanya ada sejam untuk mengemas bilik, kami akan menerima rungutan pelanggan kerana kebersihan yang tidak memuaskan.

“Kami perlukan kira-kira 60 orang untuk mengemas semua bilik dalam masa sejam. Ini tidak realistik kerana standard hotel empat bintang seperti kami biasanya ada 20 hingga 35 pekerja.

“Tidak mungkin kami mampu untuk mengambil dua kali ganda jumlah tersebut hanya untuk bahagian mengemas bilik,” katanya di sini semalam.

Ujar beliau, sekiranya undang-undang berkaitan itu dikuatkuasakan, pihaknya pasti akan menerima pelbagai rungutan daripada pelanggan mengenai tahap kebersihan bilik.

Jelasnya, hotel tersebut mempunyai 270 bilik dan biasanya kira-kira 60 peratus akan dihuni pelanggan dalam satu-satu masa.

“Ada banyak hotel lain yang mempunyai jumlah pekerja lebih sedikit dengan jumlah peratusan bilik kosong lebih banyak tidak akan mampu untuk memberikan waktu penginapan selama 23 jam,” katanya.

Di Kuala Selangor, seorang pengurus operasi hotel di sini yang mahu dikenali sebagai Julia berkata, pelaksanaan itu adalah tidak ideal dan sukar dilakukan dan perlu kembali semula kepada prosedur pembersihan sesebuah bilik.

“Hotel menekankan kebersihan jadi seorang pengemas bilik memerlukan masa kira-kira sejam selain bergantung kepada tahap kekotoran yang ditinggalkan pelanggan. Bilik yang disediakan juga perlu bebas dari ‘kecacatan’ dari segi kelengkapan elektrik dan peralatan.

“Paling cepat seorang pekerja boleh bersihkan sebuah bilik adalah sejam. Macam hotel saya ada 50 bilik dan ada tiga pekerja untuk bersihkan bilik.

“Kalau waktu cuti sekolah dan cuti panjang, pekerja saya akan kelam kabut untuk pastikan bilik bersih dan kemas untuk pelanggan seterusnya masuk,” katanya.

Perkara itu turut dipersetujui seorang lagi pekerja hotel dikenali Chong, 30, apabila semua hotel mahu memberi suatu pengalaman berharga kepada pelanggan termasuk dari segi kebersihan.

Malah, dia mengakui terdapat pelanggan yang meninggalkan ‘khaza­nah’ terlampau banyak dalam bilik yang tidak ubah se­perti dilanda tsunami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN