BUKAN peminat Fattah Amin, bukan juga pembenci bekas suami kepada pelakon dan usahawan, Nur Fazura itu.
Apa yang berlaku dalam kehidupan Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd. Amin pasca bercerai membuktikan orang Malaysia sememangnya sangat prihatin dan pemurah terhadap mana-mana individu yang berdepan kesusahan.
Fattah, 34, tidaklah sesusah manapun jika dibandingkan dengan mereka yang hidup di negara sedang bergolak. Contohnya, rakyat Palestin yang saban hari terpaksa berdepan ancaman bom, kekurangan perubatan dan makanan.
Fattah masih lagi berpakaian sempurna, tidak compang-camping dan kenderaan yang dipandu masih berjenama antarabangsa, Range Rover.
Naratif Fattah dari kaca mata netizen hanyalah seorang lelaki yang tidak lagi bergelar suami kepada antara figura atau susuk pelakon paling berpengaruh Malaysia, Fazura selepas mereka sah bercerai pada 7 Oktober lalu.
Selepas melepaskan Fazura, rezeki Fattah dalam industri seni kian mencurah-curah. Banyak pihak mendekati termasuk atas dasar kerja demi mengaut keuntungan atau tumpang sekali fenomena diraih lelaki tersebut.
Cakna
Penulis sendiri yakin Fattah sendiri serba cakna bahawa segala perhatian yang diberikan kepadanya sekarang tidak akan kekal lama. Apabila tiba waktu semua itu surut, maka akan berlalu pergi.
Jadi, sementara segala fokus diletakkan pada dirinya sekarang, adalah baik untuknya mencuba yang terbaik, namun pada masa sama, tetap menjaga nilai eksklusiviti sebagai selebriti.
Bukan apa, hidup ini ibarat roda. Hari ini kita di atas, esok lusa siapa yang tahu. Dan, apabila seseorang itu terduduk di bawah, baru mereka tahu siapa kawan, siapa lawan.
Dilabel ramai netizen sebagai duda paling ‘hot’, Fattah yang ditemui Pose baru-baru ini hanya tersenyum mendengar gelaran tersebut.
Katanya, enggan terlalu memberikan sebarang komen mengenai julukan yang diberikan kepadanya selepas berpisah dengan Fazura.
“Saya sebenarnya tak mahu komen. Namun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya.
“Tanpa mereka siapalah saya. Saya berdiri di sini hari ini pun sebab mereka. Saya bersyukur,” katanya.
Pintu rezeki
Benar orang cakap, ‘satu pintu tertutup, 10 lagi terbuka’.
Perlu diingat, Fattah sebelum berkahwin merupakan aktor lelaki yang digilai ramai di Malaysia. Siap ada kelab peminat dan selepas berkahwin, popularitinya merudum.
Kini disebabkan jenamanya, produk keluaran tempatan mencapai jualan berjuta-juta ringgit. Memang benar bahawa rakyat Malaysia sangat pemurah dan pantang melihat orang lain teraniaya.
Semoga dengan status baharu sebagai duda menguatkan semula langkah Fattah dalam dunia lakonan.
Bukan tidak boleh berniaga atau mengaut keuntungan daripada tawaran ‘endorsement’, tetapi kerja hakiki Fattah sebagai pelakon paling utama.
Sekarang sudah ada sedikit kelapangan, mungkin boleh naik ‘gear’ tiga semula untuk terus melazimkan nama dalam filem atau drama.
Lagipun, lakonan Fattah kini sudah 10 ganda lebih baik berbanding awal kemunculan dahulu.
Kalau tidak percaya sila tonton Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan disusuli Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.