DALAM satu situasi, berada di kawasan parking berbayar, saat mahu pulang terdapat masalah berlaku di mana transaksi untuk membayar caj parking menggunakan kad debit di palang keluar tidak berjaya.
Pada masa itu di waktu bekerja, pemandu mahu bergegas pulang kerana ada urusan, meskipun sudah beberapa kali cuba menyentuh kad, transaksi masih tidak berjaya.
Dalam situasi itu, tindakan umum yang dilakukan adalah dengan menekan butang interkom untuk bercakap dengan kakitangan bertugas.
Namun, meski sudah berkali-kali menekan butang, tiada siapa yang memberi respons, malah kereta di belakang sudah mula menekan hon, keadaan menjadi tegang, amarah mula memuncak kerana sepatutnya perlu ada seseorang yang bertugas menyelesaikan isu yang berlaku.
Selepas lebih sejam menunggu, akhirnya datang seseorang membantu dan dia bukanlah petugas sebenar melainkan pekerja sokongan yang mengatakan kakitangan yang sepatutnya di sebalik interkom itu tiada di tempatnya.
Situasi ini adalah contoh kecil tentang sikap tidak berintegriti pekerja yang menyebabkan kesukaran kepada orang lain kerana dirinya tidak ada di tempat kerja pada waktu bekerja.
Malah, lebih teruk hal ini juga berlaku di lokasi-lokasi di bawah jagaan agensi kerajaan yang mana sepatutnya apabila dalam situasi yang berkemungkinan bermasalah perlu ada petugas barisan pertama untuk memberi respons.
Masalah integriti dalam bekerja bukanlah sesuatu yang baru tetapi isu berterusan yang masih belum sepenuhnya ‘dirawat’ dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Tidak kira dalam skala kecil atau besar, integriti adalah satu keperluan kerana tanpanya, ia bukan hanya menjejaskan sebuah organisasi tetapi juga boleh meruntuhkan negara.
Walaupun isu di parkir seolah kecil tetapi andai ia berlaku dalam sektor lain impaknya juga akan berbeza, malah boleh menjadi barah dalam kejayaan negara yang ada pada masa kini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, semasa bertugas pernah menyatakan tentang isu integriti dan menyatakan setiap mereka yang bekerja perlu menjaga amanah masa ketika menjalankan tugas.
Hal itu disuarakan berhubung isu sungutan ramai, terutama oleh rakyat yang berdepan kesukaran berurusan di pejabat kerajaan kerana ada kakitangan hilang waktu bertugas, meja mereka kosong, melakukan kerja peribadi dan ambil masa lama untuk rehat atau makan.
Beliau juga pernah menasihatkan bahawa menjaga amanah masa adalah asas kepada integriti, iaitu pegangan prinsip moral serta etika kerja yang perlu diterjemah ketika menjalankan tugas.
“Berintegriti bukan hanya bermaksud tidak mengambil rasuah dan menyalahgunakan harta kerajaan atau majikan untuk kepentingan peribadi.
“Mencuri masa juga boleh menjadikan seseorang penjawat awam tidak amanah dan tidak jujur,” katanya.
Penjawat awam atau swasta, ingatlah bahawa integriti bukan hanya satu tanggungjawab tetapi perlu menjadi kebiasaan dan gaya hidup serta halalkan rezeki dengan bekerja secara berintegriti.














