Faktor utama yang dapat menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara adalah mempunyai rakyat bekerja dan angka pengangguran rendah.
Rakyat yang bekerja dan meraih pendapatan, selain menyumbang dan menjana ekonomi, terlindung daripada aktiviti jenayah dan tidak mudah menerima dakyah atau fahaman ekstremis. Negara yang rakyatnya makmur tidak banyak protes ganas dan tiada perang saudara.
Semua ini logik mudah lantaran harus dapat diterima oleh semua orang. Kerajaan-kerajaan di seluruh dunia, malah di negara komunis seperti China sekali pun bertungkus-lumus cuba menyediakan peluang pekerjaan, kalau boleh, kepada semua rakyatnya.
Negara-negara yang terhad peluang pekerjaan dan menyaksikan angka pengangguran meroket memiliki potensi dibelenggu pelbagai kudis dalam masyarakat, membentuk kitaran masalah yang sukar diatasi walaupun berulang kali kerajaan bertukar tangan.
Dalam laporannya awal tahun ini, firma Goldman Sach meramalkan sehingga 300 juta pekerjaan sepenuh masa di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah akan hilang menjelang tahun 2030 kerana digantikan oleh teknologi kepintaran buatan (AI) sekali gus angka menggerunkan. Angka tersebut menyamai 25 peratus tenaga kerja di kedua-dua benua berkenaan.
Menurut Goldman Sachs, peralihan itu dijangka membawa kesan positif berupa peningkatan nilai tahunan barangan global kepada 7 peratus.
Bagaimanapun, peralihan itu juga bermakna dua pertiga pekerjaan di AS dan Eropah akan terdedah kepada beberapa tahap automasi.
Angka tersebut adalah ramalan cuma di dua buah benua. Hakikatnya, Asia Tenggara tidak terkecuali, Malaysia dan seluruh rantau lain terkesan dengan evolusi AI.
Ramalan itu pula hanya menjangkau tahun 2030. Apakah yang akan berlaku di tahun 2050-an apabila teknologi AI berkali ganda lebih maju? Berapa banyakkah pekerjaan akan diambil alih oleh mesin dan robot yang mampu berfikir dengan algoritma logik seperti manusia.
Teknologi AI tiada batasan seperti bidang-bidang lain termasuk bioteknologi dan kejuruteraan genetik yang melarang pengklonan manusia.
Negara-negara di dunia juga masih kabur mengenai impak AI dan tidak sepakat tentang bagaimana untuk mengawal teknologi ini supaya tidak memudaratkan umat manusia.
Umumnya, manusia mencipta teknologi dan inovasi bagi memudahkan, meringankan dan mempercepatkan rutin dan pekerjaan mereka.
Namun, AI pula mengambil alih pekerjaan yang menjana pendapatan bagi menyara kehidupan manusia.
Teknologi ini dari sudut perniagaan dan pengilangan, seolah-olah dihasilkan untuk memaksimumkan keuntungan dengan meminimumkan kos dan liabiliti iaitu pekerja atau manusia.
Matlamat perniagaan adalah untuk memakmurkan ekonomi dan memberi pekerjaan kepada rakyat jelata tiada lagi dalam kamus kapitalis dan konglomerat gergasi masa kini yang memuja keuntungan dan dominasi.
Semua ini akan dapat direalisasikan menerusi teknologi AI. Kelak, siapa yang dapat menguasai teknologi AI, maka dia ialah raja.














