fbpx
Para peserta Larian Sawah Padi Tanjong Karang 2024 diberikan karipap di salah satu check point.

Acara larian unik promosi pelancongan kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGGUNA aplikasi TikTok baru-baru ini pastinya ada melihat koleksi video daripada satu acara larian yang diadakan di sebuah kampung di Tanjong Karang, Selangor yang tular.

Acara larian sejauh 7 kilometer dinamakan Larian Sawah Padi Tanjong Karang 2024 itu cukup unik dan berbeza daripada acara larian lain kerana tidak mencari pemenang. Tiada juga sebarang hadiah ditawarkan, bahkan peserta juga boleh mengambil masa sehingga tiga jam untuk sampai ke garisan penamat.

Menariknya, di setiap check point yang disediakan, setiap peserta boleh mengambil makanan dan minuman seperti ayam goreng, karipap, kuih koci, kopi dan juga air kelapa yang disediakan oleh penduduk kampung.

Berkongsi pengalamannya sebagai peserta acara, Syauti Abdul Rahim, 37, berkata, acara tersebut cukup menyeronokkan kerana ia merupakan satu larian bersifat santai.

Katanya, penduduk tempatan menganjurkan satu program unik kepada orang ramai terutama dari luar kawasan itu yang bertujuan merancakkan lagi sektor pelancongan khususnya di Tanjong Karang.

“Laluan fun run ini menyusuri kawasan kampung dengan pemandangan yang cukup indah.

“Kami peserta juga tidak terkejar-kejar untuk menamatkan larian memandangkan tiada hadiah yang dipertaruhkan,” kongsinya yang menyertai acara yang diadakan pada 1 September lalu.

Larian Sawah Padi Tanjong Karang 2024 dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Keusahawanan Sepakat Unggul Malaysia (PKSUM) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tiram dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seri Tiram Jaya.

Presidennya, Hanif Harun, 34, berkata, sebagai anak kelahiran Kampung Seri Tiram Jaya, dia berhasrat mempertingkat serta memperluas ekonomi penduduk setempat dengan cara yang unik dan menyeronokkan.

“Saya mahu mempromosikan produk keluaran orang kampung kepada penduduk luar dan berasa terpanggil untuk menganjurkan satu acara yang bersifat menyeronokkan sebagai cara unik memperkenalkan produk kami.

“Selepas berbincang dengan penduduk kampung, kami sepakat memilih acara larian keliling kampung, memandangkan acara larian juga salah satu aktiviti riadah yang sentiasa popular dan diminati ramai.

“Syukur acara berjalan lancar dan tahun ini merupakan tahun kedua penganjurannya,” ujarnya kepada K2.

Antara peserta yang tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti mandi di palung air sawah dan pukul bantal cara kampung.

Tahun lalu, acara tersebut berjaya mengumpulkan seramai 1,300 orang peserta dan tahun ini, Hanif berkata pihaknya berjaya merekodkan 3,000 penyertaan. Bahkan, 25 daripadanya juga adalah penyertaan daripada warganegara asing seperti dari Kemboja dan Thailand.

Larian tersebut adalah sepanjang tujuh kilometer bermula di Padang Utama SK Sri Tiram. Laluan larian pula adalah melibatkan jalan-jalan di kawasan Kampung Seri Tiram Jaya.

Acara dimulakan pada pukul 6 pagi dan berakhir pada pukul 9 pagi.

Tiada peraturan khusus dan peserta boleh menghabiskan larian dalam tempoh tiga jam mengikut kelajuan sendiri. Semua peserta yang berjaya menyelesaikan larian akan meraih pingat.

Ujar Hanif yang juga merupakan pelari tegar, bagi menjadikan acara itu menarik, dia bekerjasama dengan penduduk kampung untuk menyediakan sebanyak 11 check point yang lain daripada yang lain.

Antaranya adalah check point yang menyediakan juadah enak yang disediakan oleh orang kampung seperti kuih karipap, kuih koci, ayam goreng, tempeh goreng, aneka air sejuk, air kelapa dan juga kopi.

Bagi check point bersifat aktiviti pula, Hanif menyediakan check point yang mana peserta boleh beraktiviti seperti joget lambak, menikmati persembahan live band, aktiviti pukul bantal cara kampung, memancing dan mandi dalam palung (tali air) sawah.

“Bagi check point yang menyediakan aneka juadah itu, ia sebagai mempromosikan produk keluaran penduduk kampung. Saya mendapat tahu bahawa peniaga karipap yang menyediakan juadah itu kini sudah pun menerima banyak tempahan daripada para peserta yang teringat-ingat keenakan kuih tradisional itu, sehingga tak menang tangan.

“Bagi check point aktiviti pula, ia sebagai mengimbau kenangan bermain semasa kecil yang mungkin sudah dilupakan ramai. Ia juga sebagai menunjukkan cara hidup di kampung yang menyeronokkan,” katanya.

Setiap peserta yang berjaya menyelesaikan larian menerima pingat.

Bagi check point terakhir yang juga merupakan check point penutup acara, penganjur meletakkan beberapa orang anggota bomba dan penyelamat yang akan menyembur air kepada para peserta sebagai menambah elemen santai pada acara.

Bercakap tentang peserta yang hadir, Hanif berkata, peserta termuda yang direkodkan berusia setahun, manakala peserta paling tua pula berusia 75 tahun.

Kongsi Hanif, dia sama sekali tidak menyangka larian itu mendapat sambutan ramai. Malah, ramai yang sudah menyatakan hasrat untuk kembali menyertai acara tersebut pada tahun depan.

“Ada yang bimbang tidak dapat slot untuk tahun depan selepas acara tular.

“Selaku penganjur, saya tidak menyangka acara ini mendapat sambutan ramai memandangkan aktiviti santai sebegini, tanpa tekanan untuk menang atau muncul juara, adalah satu cara terbaik untuk orang ramai menghabiskan masa bersama ahli keluarga dengan cara yang menyeronokkan.

“Namun, untuk edisi seterusnya, saya berhasrat untuk kekalkan jumlah penyertaan kepada 3,000 sahaja seperti tahun ini. Ini kerana, jika terlalu ramai peserta, banyak faktor yang perlu diambil kira, antaranya termasuklah kekangan ruang parkir kereta yang terhad untuk para peserta dan beberapa aspek lain,” katanya.

Harapannya agar untuk edisi seterusnya, lebih ramai lagi pihak yang menyokong dan sudi menaja program tersebut bagi membolehkannya melakukan penambahbaikan dengan aktiviti lebih menarik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN