fbpx

[VIDEO] ‘Dia bukan sekadar anak, dia kawan saya’ – Bapa Muhammad Akmal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MD. TUKIRIN tidak dapat menahan sebak ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Parit Baru, Muar, baru-baru ini.

MUAR – “Dia bukan sekadar anak, dia kawan saya. Dia baik dengan saya,”.

Itu luahan bapa kepada Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut bersama dua lagi rakannya dalam nahas di Teluk Gadong, Terengganu malam tadi.

Menurut Md. Tukirin Saringat, 60, dia amat sedih apabila mengenangkan tragedi itu berlaku dalam masa tidak sampai seminggu menghantar Allahyarham pulang semula ke kampus berkenaan selepas tamat cuti semester baru-baru ini.

“Saya dah pesan dekat dia ‘belajar rajin-rajin jangan tinggal solat, sampai habis kau belajar’. Bila jadi macam ini saya balik (ke rumah) dah jadi jenazah pula.

“Saya tak nampak perubahannya kerana dia orangnya peramah, dia suka bercerita serta buat lawak jadi saya tak ada rasa apa-apa pun yang dia akan pergi selamanya, bagi saya ini (bergurau) perkara biasa,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Parit Baru, di sini, sebentar tadi.

Tambahnya, meskipun reda dengan kejadian yang berlaku, namun dalam masa sama dia dan keluarganya masih terkejut dengan kehilangan Muhammad Akmal.

“Saya tidak menyangka langsung kerana benda ini berlaku begitu pantas sekali, bila jadi macam ini kepala dah macam tak boleh nak fikir dah. Apa-apa pun saya reda dengan kehendak Ilahi.

“Saya ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada UiTM menguruskan segala-galanya daripada saya jauh datang, sampai sana mereka telah siapkan segalanya sehinggalah jenazah selamat sampai ke sini (kediaman di Kampung Parit Baru),” jelasnya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada pukul 5.20 petang tadi dengan diiringi kira-kira 150 ahli keluarga dan kenalan.

Malam tadi Kosmo! melaporkan tiga pelajar UiTM Dungun maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal yang mereka tunggang dirempuh sebuah kenderaan di Teluk Gadong.

Kemalangan itu berlaku berhampiran kampus universiti awam tersebut pada pukul 8 malam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Khairil Anwar Jamaludin, 20; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Mohd. Akmal Tukirin, 25. Seorang lagi mangsa yang cedera parah pula dikenali sebagai Amar Danish Mohd. Ridwan, 20. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI