fbpx

[VIDEO] Tiada komen tindakan saman selebriti – Peguam Abang bas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABANG Bas hadir di Mahkamah Sesyen Muar, Johor hari ini bersama peguam probono bagi prosiding serahan dokumen.

MUAR – Peguam yang mewakili ‘Abang bas’ bagi serahan dokumen di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini enggan memberikan sebarang kenyataan berkenaan dengan tindakan saman terhadap beberapa selebriti yang didakwa melakukan tohmahan terhadap anak guamnya.

Peguam secara probono, Muhammad Qayyim Saiful Bahari ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat berkaitan tindakan tersebut yang dikendalikan oleh Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

“Berkenaan dengan itu (tindakan saman selebriti) tiada komen, berkenaan usaha dapatkan semula bas pun sama. Berkenaan dengan apa yang dinyatakan oleh Tok Mad (Ahmad Zaharil) kami tak ada maklumat.

“Kami memang bekerjasama tetapi daripada dua firma berbeza, saya mewakili tertuduh dari Tetuan Hariz Syakinah & Co, itu sahaja,” katanya ringkas.

Terdahulu, Hakim Sayani Mohd. Nor dalam prosiding hari ini menetapkan tarikh baharu 11 November depan bagi serahan dokumen susulan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir masih belum dapat menyerahkan laporan diperlukan.

Pihak defendan kemudian memohon agar prosiding yang dilakukan secara berasingan di Mahkamah Batu Pahat atas pertuduhan mengikut Seksyen 233(3) akta sama dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Muar dan dipersetujui oleh pihak mahkamah.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan abang bas yang berusia 24 tahun ditahan sejak 6 September lalu dan didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap dua kanak-kanak termasuk anak saudaranya berusia empat tahun.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 dan 15 akta sama.

Dia juga didakwa di Mahkamah Batu Pahat atas pertuduhan membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun.

Peguam probono, Ahmad Zaharil yang mewakili tertuduh memaklumkan ahli keluarga anak guamnya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu termasuk selebriti yang menyebarkan pelbagai tohmahan terhadap pemuda itu.

Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dan menasihati agar pihak terbabit segera membuat permohonan maaf kepada ahli keluarga serta tertuduh sebelum tindakan saman dibuat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI