KLANG – Sistem Dokumen Sokongan Import Eksport (SDSIE) berjaya melonjakkan pungutan cukai eksport dan import negara sehingga RM48.9 billion bagi tempoh sembilan bulan tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, jumlah itu mencatatkan lebihan sebanyak RM6.54 bilion berbanding disasarkan RM42.4 bilion.
Katanya, SDSIE yang dibangunkan secara web-based bagi memperkasakan tahap kecekapan taksiran dan pelepasan kastam di pintu keluar dan masuk negara.
“Pelaksanaan SDSIE memberikan kesan yang sangat signifikan ke atas peningkatan hasil kerana ia tepat di web-based dan mempercepatkan masa.
“Ini salah faktor selain melihat semula prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keberkesanan sistem tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan SDSIE di Wisma Kastam, Pulau Indah hari ini.
Beliau memberitahu, sistem itu dibangunkan untuk mempercepatkan proses taksiran, meningkatkan hasil dan mengurangkan ketirisan dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi.
Tambah Anis Rizana, SDSIE juga dilengkapi dengan keupayaan menyimpan dokumen sokongan import eksport secara digital dan boleh diakses semula pada bila-bila masa bagi tujuan auditan.
“Sehingga kini, lebih daripada 900 buah syarikat dan ejen penghantaran yang terlibat dalam aktiviti import dan eksport di Pelabuhan Klang telah berdaftar sebagai pengguna.
“Ia juga Kita akan memperluaskan ke pelabuhan di Pulau Pinang dan Johor sebelum seluruh negara bermula Januari tahun depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 5,666 kes telah dihasilkan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lalu dengan nilai rampasan termasuk duti berjumlah RM1. 313 bilion.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan nilai sebanyak 48.53 peratus berbanding RM884.2 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.
“Rokok merupakan komoditi penyumbang terbesar nilai kes itu sebanyak RM437. 2 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE