PETALING JAYA – Saint Petersburg Mining University di Russia mahu bekerjasama dengan universiti di Malaysia untuk melakukan kajian mendalam mengenai mineral.
Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu dibangkitkan pada Mesyuarat ke-3 Suruhanjaya Bersama Malaysia-Russia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JCESTC) di Russia.
Ujar beliau, peluang itu akan digunakan sebaiknya oleh KPT memandangkan Saint Petersburg Mining University antara universiti terbaik di dunia dalam kajian mineral.
“Isu halal turut dibangkitkan yang mana Persekutuan Russia sangat berharap Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membantu pengiktirafan sijil halal mereka.
“Dalam hal ini saya turut mencadangkan agar Halal Development Corporation (HDC) Malaysia dapat turut sama membantu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Zambry berkata, antara perkara yang dibincangkan JCESTC mengenai cadangan meningkatkan hubungan dalam pendidikan termasuk pendidikan rendah dan tinggi kedua-dua negara.
Kata beliau, ia termasuk meningkatkan jumlah pelajar Malaysia di Russia dan pelajar Russia di Malaysia serta menambah bilangan biasiswa untuk pelajar Malaysia yang sebelum ini seramai 20 kepada 40 orang setahun.
“Data terkini menunjukkan seramai 617 pelajar Malaysia berada di Russia dan mengambil kursus seperti perubatan, kejuruteraan, minyak dan gas, dan teknologi marin.
“Selain daripada pertukaran pelajar, program ini turut akan melibatkan para pensyarah, penyelidik dan juga penjawat awam untuk sama-sama meningkatkan kemahiran yang dimiliki oleh Malaysia dan Russia,” katanya.
Kata beliau, perkara lain yang turut dibincangkan adalah mengkaji dengan lebih mendalam bagi menyediakan perkhidmatan penerbangan secara terus dari Russia ke Malaysia.
Tambah beliau, antara perkara yang turut diberi penekanan penubuhan Kursi Pengajian Melayu di Russia, kerjasama kewangan dan perbankan serta keterjaminan makanan dan produk agrikultur.
“Dalam perkara ini, Malaysia mengalu-alukan kerjasama antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Kazan State Agrarian University (KSAU) (KSAU) bagi meneroka peluang untuk R&D prospek projek berkaitan
“Semestinya dalam isu pelaburan, kedua-dua negara bersetuju untuk menggalakkan peningkatan perdagangan dua hala dengan mengenal pasti peluang pasaran baharu, menambah baik akses pasaran dan memudahkan pelaburan langsung,” katanya.
Selain itu, katanya, mesyuarat bersetuju agar kerjasama dalam kedua-dua sektor tenaga tradisional dan boleh diperbaharui termasuk menggalakkan inovasi dalam teknologi tenaga bersih.
“Mesyuarat secara tertutup ini berjaya mewujudkan satu persefahaman setara antara pihak Malaysia dan Rusia. JCESTC kali ke-3 berjaya mengukuhkan lagi hubungan mesra dan strategik antara Russia dan Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE