SEREMBAN – Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak angkat perempuannya berusia 16 tahun yang dijaga sejak kecil pada Mei tahun lalu.
Tertuduh berusia 51 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fiizkal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun untuk maksud seksual di Jelebu pada Mei tahun lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd. Saubian, manakala tertuduh diwakili Peguam Nur’ain Shahiera Khalid.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Kes disebut semula bagi serahan dokumen pada 27 November depan.
Sementara itu, di luar mahkamah seorang petugas media telah dihalang oleh ahli keluarga tertuduh ketika mengambil gambarnya yang telah selesai membayar wang jaminan. – KOSMO! ONLINE