PETALING JAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menzahirkan ucapan takziah buat keluarga tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dalam nahas jalan raya membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Pantai Sura, Kuala Terengganu malam tadi.
“Mendapat perkhabaran duka, tiga orang pelajar UiTM Dungun yang terlibat dalam kemalangan lewat petang tadi (semalam) dan telah kembali ke rahmatullah.
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga. Semoga roh kesemua mereka dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Semoga seluruh ahli keluarga tabah dan sabar menempuhi ujian ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, UiTM Cawangan Terengganu menerusi kenyataan dikeluarkan berkata, lokasi kemalangan maut itu berlaku berhadapan kampus berkenaan melibatkan empat penuntut.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Khairil Anwar Jamaludin, Muhammad Akmal Md Tukirin dan Ku Adib Aizad Ku Azmi manakala Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan cedera parah.
“Muhammad Ammar Danish kini dirawat di Hospital Dungun dan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.
“Pihak universiti berdukacita atas kejadian yang berlaku dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan semoga Allah permudahkan urusan keluarga mangsa,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, pihak universiti turut menyediakan bantuan dan sokongan kepada kesemua keluarga mangsa nahas. – KOSMO! ONLINE