IPOH – Kehilangan seorang wanita tanpa khabar berita sejak lebih sebulan lalu meresahkan keluarga yang bimbangkan keselamatannya.
Suami mangsa, Muhammad Noor Mohd. Ali Osman, 28, berkata, kehilangan isteri, Nur Izzati Khairuddin, 27, itu disedarinya selepas wanita itu tidak pulang ke rumah mereka di Persiaran Lembah Perpaduan, Tambun pada 2 September lalu.
Katanya, ketiadaan isteri secara tiba-tiba itu menimbulkan tanda tanya berikutan tiada perselisihan faham berlaku antara mereka mahupun ahli keluarga lain.
“Kali terakhir saya bertemu isteri pada pagi hari kejadian sebelum saya keluar bekerja dan isteri pula pergi menghantar anak-anak ke rumah pengasuh menaiki kereta.
“Beberapa jam kemudian, saya ada lihat isteri lalu di hadapan tempat kerja saya dan dia sempat membunyikan hon. Ketika itu dia menunggang motosikal jenis Honda RS150.
“Ketiadaan isteri disedari selepas saya tergerak hati menghubungi pengasuh sekitar pukul 9 malam sebelum wanita itu memaklumkan isteri masih belum mengambil anak-anak lagi,” katanya di sini hari ini.
Menurut Muhammad Noor yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, kerana bimbang dengan keselamatan isterinya, dia segera membuat laporan kehilangan di Balai Polis Tanjung Rambutan selain berusaha mencari wanita tersebut, namun gagal menemukannya.
“Bagaimanapun, pada 26 September lalu ketika mencari isteri di sekitar pekan Ipoh, saya menemukan motosikal yang ditunggangnya ketika hari kejadian berhampiran sebuah restoran.
“Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) restoran itu, kenderaan tersebut telah berada di sana sejak 10 September, namun kelibat isteri tidak kelihatan dalam video berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE