Saya seorang lelaki yang menghidap masalah ginekomastia, di mana terdapat lebihan kelenjar pada bahagian payudara sehingga menyebabkan ia membesar. Masalah ini bukan berpunca daripada lemak badan berlebihan saja, malah boleh terjadi kepada lelaki yang mempunyai berat badan ideal. Persoalannya, adakah saya dibenarkan untuk melakukan pembedahan dan adakah ia dianggap sebagai mengubah ciptaan-Nya?
Jawapan: Hukum mengecilkan payudara bagi pesakit ginekomastia (pembesaran kelenjar pada payudara lelaki) adalah harus berdasarkan situasi berikut:
Sekiranya pesakit ginekomastia tidak boleh sembuh secara semula jadi dalam tempoh beberapa bulan sehingga menyebabkan rasa sakitnya bertambah pada anggota berkenaan, maka dibenarkan melakukan pembedahan pengecilan bagi tujuan rawatan.
Sekiranya payudara lelaki yang membesar itu tidak rasa sakit, maka harus memakan ubat oral terlebih dahulu.
Namun, apabila ia tidak menunjukkan sebarang kesan positif, maka harus melakukan pembedahan bagi menghilangkan aib dan mengembalikan bentuk asal fizikal yang normal. Hal ini kerana, ia merupakan satu keaiban pada lelaki apabila anggota badannya menyerupai wanita, bahkan ejekan orang di sekeliling berkemungkinan boleh menyebabkan masalah psikologi. Ia dikategorikan keaiban atau kecacatan yang muncul disebabkan masalah kesihatan.
Menurut National Library of Medicine, ginekomastia merupakan satu keadaan pembesaran pada kelenjar payudara lelaki.
Ia berlaku disebabkan faktor ketidak seimbangan hormon estrogen dan testosteron dalam badan. Keadaan ini merupakan permasalahan biasa yang berlaku dalam kalangan lelaki dan bukannya penyakit yang kritikal.
Kebiasaannya, ia berlaku kepada bayi yang baru lahir, kanak-kanak dan golongan tua.
Namun, dalam sesetengah situasi, ia boleh terjadi kepada golongan lelaki yang mempunyai berat badan ideal atas sebab-sebab yang tertentu seperti ketidak seimbangan hormon, pengambilan ubatan atau keadaan kesihatan.
Bagi kes yang lebih serius, payudara lelaki boleh membengkak dan membesar sehingga menyerupai payudara wanita, dan juga menyebabkan rasa sakit.
Penyakit ginekomastia boleh sembuh secara semula jadi dalam tempoh beberapa bulan jika ketulan atau pembengkakan adalah kecil. Namun, sekiranya ia tidak boleh sembuh secara semula jadi dalam tempoh kurang daripada enam bulan dan payudara semakin membesar sehingga mengganggu aktiviti seharian, maka pesakit boleh mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan.
Bentuk-bentuk rawatan yang diterima sama ada melalui pengambilan ubat oral atau pembedahan.
Rawatan pembedahan pula diberikan apabila pengambilan ubat oral tidak menunjukkan sebarang kesan positif kepada pesakit.
Secara asasnya, perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT adalah diharamkan apabila ia melibatkan perubahan yang kekal pada anggota badan dan tujuan pelaksanaannya adalah untuk kecantikan semata-mata.
Bagi menjawab isu pembedahan mengecilkan payudara lelaki, niat atau tujuan merupakan asas pertimbangan dalam penentuan hukum sama ada bermotifkan keperluan rawatan atau hanya mengikut hawa nafsu.
Selain itu, Dr. Soleh bin Muhammad al-Fawzan memperincikan pandangan berkenaan hukum lelaki memperelok dan mencantikkan payudara. Merujuk kepada persoalan, ia termasuk dalam kategori pembedahan mengecilkan payudara lelaki disebabkan terjadi pembengkakan dan pembesaran yang teruk, sehingga ia kelihatan seperti bentuk payudara wanita atau luar daripada kebiasaan.
Justeru, pembedahan seperti ini diharuskan oleh syarak.
Pembedahan ini termasuk dalam kategori rawatan bagi menghilangkan aib dan tidak dianggap mengubah ciptaan semula jadi.