PUTRAJAYA – Dua pengikut “Tuhan Harun” yang disabitkan membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) 11 tahun lalu, terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas membenarkan permohonan semakan hukuman mati Sumustapha Suradi, 50, dan Shamsinar Abdul Halim, 47, bagi mengetepikan hukuman gantung itu.
Sumustapha dihukum penjara 40 tahun, manakala Shamsinar turut dikenakan hukuman penjara sama serta dikenakan 12 sebatan.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.
Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.
Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun berdepan sebatan minimum sebanyak 12 kali.
Pada 29 November 2018, kedua-dua pemohon kekal dihukum gantung sampai mati atas pertuduhan itu oleh Mahkamah Persekutuan di sini
Ia selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir mereka dan mengekalkan sabitan dan hukuman mati.
Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum yang mengetuai barisan lima hakim ketika itu memutuskan bahawa rayuan kedua-dua mereka tidak mempunyai merit.
Pada 2016, Sumustapha dan Shamsinar dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuantan selepas mereka didapati bersalah membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIP, Ahmad Raffli Abd Malek.
Dalam kejadian itu Ahmad Raffli, 49, ditembak di hadapan rumahnya di Bandar Indera Mahkota di Kuantan, Pahang pada 10 November 2013.
Pada masa sama, Ketua kumpulan ajaran sesat itu, Harun Mat Saat atau lebih dikenali sebagai “Tuhan Harun’, juga didakwa kerana bersubahat dalam pembunuhan tersebut.
Bagaimanapun, tuduhan ke atas Harun digugurkan pada 26 Ogos, 2016 selepas dia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 16 Ogos, 2016 akibat masalah pernafasan. – KOSMO! ONLINE