PENDANG – Penduduk kampung sekitar daerah ini terutama di kawasan pedalaman gelisah ekoran fenomena banjir termenung yang kembali melanda sejak Isnin lepas.
Seorang penduduk, Zamzuriah Mohd. Satar, 52, dari Kampung Banggol Besi di sini memberitahu, banjir kali kedua yang melanda kawasan itu lebih buruk berbanding sebelum ini.
“Baru surut sejengkal, kami kena pindah balik ke PPS (pusat pemindahan sementara) ini. Kejadian pertama dulu teruk air naik sampai masuk rumah dan kali ini lagi teruk walaupun hujan tak selalu sangat.
“Kami terpaksa pindah sebab bimbang kalau hujan banjir makin teruk. Ini tak tahulah berapa lama kena duduk PPS. Kali pertama dekat seminggu juga balik rumah sekejap, kena mai balik. Barang-barang memang rosaklah sebab berendam lama dalam air,” katanya ketika ditemui di PPS Kompleks Rakan Sukan, di sini.
Kejadian sama turut menimpa warga emas, Abdul Rahman Abdullah, 75, yang terpaksa mengusung adik iparnya, Rahali Jais, 65, yang juga orang kelainan upaya (OKU) ke PPS tersebut.
“Bah kali ini mai cepat tetapi ‘balik’ lambat. Entah berapa lama pula kali ini kami duduk di sini. Kami dipindahkan oleh APM dan polis semalam dengan bot selepas air naik paras pinggang.
“Duduk rumah nak keluar pun susah macam mana nak cari makan, jadi mai lah duduk sini,” katanya yang menetap di Kampung Sukamari, di sini.
Dalam pada itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis daerah ini memindahkan beberapa penduduk termasuk warga emas lumpuh, Che Yah Ahmad, 67, dari Kampung Tanjung Raden dan seorang gadis OKU, Noradillah Ramli, 28, dan neneknya, Aishah Ahmad, 76, dari Kampung Pondok Haji Husin di sini. – KOSMO! ONLINE














