SUNGAI BULOH – “Terima kasih hadir dalam hidup mama walaupun hanya 20 tahun.
Itu antara coretan sedih, Hafizah Iszahanid ibu kepada Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kampung Sura Hujung, Dungun malam tadi.
Pada coretan di laman Instagram itu juga, Hafizah turut menitipkan rasa kasih dan sayangnya kepada anak sulungnya itu hingga ke akhir hayat.
“Mama sayang Adib hingga akhir hayat mama. Mama reda untuk semuanya. Selamat jalan sayang mama. Mama akan selalu rindu.
“Adib (Ku Adib Aizad) ajar mama untuk jadi seorang ibu dan menjadi seorang yang kuat,”luahnya.
Sementara itu, bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, Tanty Sharom,52 berkata, arwah sentiasa menyenangkan gurunya dalam pelbagai perkara.
“Walaupun arwah tidak banyak bercakap namun arwah seorang ringan tulang dan tidak pernah berkata tidak jika diminta untuk membantu,”katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 malam itu, Ku Adib Aizad anak sulung daripada empat beradik meninggal dunia selepas dirempuh sebuah Honda CRV dipandu seorang wanita berdekatan pintu masuk kampus UiTM Dungun.
Rempuhan itu menyebabkan empat pelajar tersebut tercampak manakala kenderaan berkenaan pula terbabas memasuki parit di tepi jalan.
Selain Ku Adib Aizad, turut dilaporkan terkorban Khairil Anwar Jamaludin, 20, dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, manakala Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, cedera parah.
Difahamkan mereka dalam perjalanan pulang ke kampus sebaik makam malam bersama.-KOSMO! ONLINE