fbpx
RATA-rata guru KAFA meminta kerajaan mengkaji penambahbaikan elaun saraan mereka. – GAMBAR HIASAN

Elaun KAFA RM1,300 sebulan, tolak caruman, berapa saja tinggal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – “Saya sudah hampir 30 tahun bertugas sebagai guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA), elaun diterima hanya RM1,300. Ketika ini, kecil nilainya dan boleh habis sekelip mata selepas tolak komitmen bulanan.”

Demikian luah seorang guru KAFA dikenali sebagai Nur Izzati, 48, yang berkongsi perjalanan kerjayanya ketika ditemui di sebuah sekolah agama rakyat di sini.

Dia yang mula bertugas pada 2001 berkata, ketika itu elaun diterimanya kira-kira RM280, sebelum naik berperingkat-peringkat hingga yang terbaru RM1,300.

“Ini pengorbanan yang terpaksa dilakukan kami demi mendidik anak bangsa walaupun secara realitinya jumlah itu tidak mampu menampung kehidupan.

“Bayangkan ketika mula ­kerja elaun diterima tak sampai RM300, sekarang pun baru dapat RM1,300. Secara logiknya, mana mungkin seseorang dapat tampung keluarga dengan jumlah itu.

“Saya bernasib baik kerana suami merupakan seorang penjawat awam biarpun berpangkat rendah, dapatlah kami berkongsi bebanan membesarkan anak-anak bersama,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Ujarnya, dia berharap penambahbaikan dapat dilakukan oleh kerajaan negeri bagi meri­ngankan beban yang ditanggung golongan pendidik agama se­pertinya apatah lagi Belanjawan 2025 bakal dibentangkan menje­lang 18 Oktober depan.

“Golongan guru KAFA hanya terima elaun semata-mata dan tidak mempunyai manfaat lain.

“Contohnya, ekoran elaun di­terima tak sampai RM1,500, kami berdepan kesukaran untuk me­lakukan pinjaman bank kerana tidak cukup syarat gaji minimum.

“Banyak bank letak syarat gaji minimum RM1,500 jika mahu buat pinjaman peribadi, jadi kami memang tak layak,” katanya.

Menurut Siti Musliha, 39, bagi guru wanita yang bersalin, mereka tidak layak untuk menerima elaun bulanan secara penuh.

“Jika bersalin, RM800 daripada elaun diterima daripada kerajaan negeri akan diserah kepada guru ganti, manakala baki hampir RM200 diberi kepada kami.

“Begitu juga jika seorang guru itu sakit, RM40 akan ditolak daripada elaun kerana ia akan digunakan sebagai bayaran kepada guru ganti berkenaan,” katanya selain menambah mereka me­nerima tujuh hari cuti khas dan 15 hari untuk cuti sakit.

Menurutnya, jika cuti yang layak diterima telah habis digunakan dan mereka masih lagi sakit dan tidak dapat bekerja, guru-guru berkenaan perlu memohon cuti tanpa gaji.

Ujarnya, rata-rata guru KAFA juga tidak berjawatan kerana mereka bekerja secara kontrak, dengan guru baharu perlu memperbaharui kontrak secara tahunan, manakala yang telah lama berkhidmat tiga tahun sekali.

Seorang guru KAFA yang mahu dikenali Faizal membe­ritahu, antara perkara yang diperjuangkan mereka adalah elaun guru KAFA minimum RM1,500.

Jelasnya, memandangkan jumlah itu selari dengan gaji mi­nimum ditetapkan kerajaan dan KAFA Integrasi di Perak berope­rasi selama lima hari seminggu.

“Kerajaan Perak perlu kaji dan menaikkan elaun RM200 ke RM400 memandangkan jumlah RM200 daripada pihak negeri telah lama tidak dinaikkan.

“Status guru KAFA perlu dinaik taraf ke perjawatan kontrak (gaji) bukan lagi sambilan (elaun) supaya kemudahan perubatan (GL) dan kemudahan lain diterima.

“Guru KAFA yang bersalin perlu diberi elaun penuh bagi memastikan kehidupan mereka selepas bersalin lebih terjamin,” katanya.

Ujar Fatimah, 40, bukannya mereka tidak bersyukur tetapi gaji minimum bagi negara ini RM1,500 sedangkan tugas sebagai pendidik perlu mengajar hingga tujuh mata pelajaran.

“Antaranya, Asas Tilawah al-Quran, Asas Ulum Syariah, Asas Aqidah Islamiah, Asas Akhlak Islamiah, Jawi, Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam selain perlu menyemak jawapan peperiksaan pelajar,” katanya.

Kosmo! pada 30 September lalu melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berharap kebajikan guru KAFA akan ditambah dalam Belanjawan 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN