fbpx
Penjaga cheetah di Zoo Negara, Kuala Lumpur memastikan cheetah diberikan makanan yang kaya nutrien dan seimbang. – SYAKIR RADIN

Cabaran Zoo Negara pulihara, jaga cheetah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMBURUAN haram dan kehilangan habitat semula jadi menjadi ancaman buat cheetah, menjadikan ia sebagai salah satu spesies yang memerlukan perlindungan khas untuk memastikan kelangsungan hidup.

Isu yang melanda haiwan itu membuatkan pelbagai pihak termasuk Zoo Negara mengambil langkah proaktif bagi menggalas tanggungjawab supaya cheetah tidak pupus dan menjadi salah satu spesies yang diberi perhatian rapi oleh pihak zoo.

Cheetah dengan nama saintifiknya Acinonyx jubatus adalah kucing besar yang dikenali dengan kepantasan luar biasa iaitu mampu mencapai kelajuan sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh yang singkat.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Zoologi Malaysia, Datuk Rosly@Rahmat Ahmad Lana, terdapat tiga ekor cheetah yang dijaga di Zoo Negara iaitu Tiana (betina), Flash (jantan) dan Bolt (betina).

“Di Zoo Negara, cheetah ditempatkan dalam persekitaran selamat yang menyerupai habitat semula jadinya bagi menjaga kesihatan fizikal dan mental.

“Penjaga haiwan juga memastikan diet yang seimbang, termasuk daging mentah yang kaya dengan nutrien untuk mengekalkan kesihatan optimum cheetah,” katanya kepada Infiniti baru-baru ini.

Tambahnya, selain penjagaan rapi, pelaksanaan program enrichment juga digunakan untuk merangsang minda haiwan ini menerusi aktiviti dan permainan bagi memastikannya aktif dan terhibur.

Dalam pada itu, pemeriksaan kesihatan berkala cheetah juga dipantau dengan rapi oleh veterinar Zoo Negara, di samping pemberian vitamin dan suplemen (makanan tambahan).

Mempunyai jangka hayat sehingga 20 tahun, penjagaan cheetah juga berdepan pelbagai cabaran terutama bagi memastikan haiwan itu mendapat keselesaan meskipun tinggal dalam zoo.

Kongsi Rosly lagi, antara cabarannya adalah menyediakan habitat yang sesuai, pemantauan kesihatan, enrichment dan stimulasi serta pengkhususan diet atau makanan.

“Di Zoo Negara, usaha teliti diambil untuk menyediakan ruang mencukupi dan simulasi habitat semula jadi bagi memastikan kesejahteraan fizikal dan psikologi cheetah terpelihara, malah kita turut menguruskan pembiakan cheetah untuk elakkan pembiakan berlebihan dan memastikan genetik yang sihat.

Jenama pakaian popular, Cheetah merupakan antara syarikat yang turut serta dalam program tajaan penjagaan haiwan cheetah di Zoo Negara.

“Cheetah juga memerlukan persekitaran yang stimulatif untuk mengurangkan stres dan memastikan kesejahteraan mentalnya, selain itu menyediakan diet yang sesuai dan seimbang amat dititik beratkan untuk memenuhi keperluan nutrisi spesifik kerana ia adalah penting bagi kesihatan haiwan itu,” ujarnya.

Jelasnya, bagi memberikan penjagaan terbaik juga pihaknya membuka ruang buat mana-mana organisasi untuk bersama-sama membantu dalam pelbagai aspek termasuk penajaan.

Seperti inisiatif jenama pakaian, Cheetah Holding Berhad yang telah menaja cheetah di Zoo Negara, pihaknya sangat menggalakkan syarikat atau agensi lain turut serta dalam langkah ini.

“Penajaan oleh syarikat membantu menyokong penjagaan dan pemuliharaan haiwan terancam seperti cheetah, sambil memberikan peluang bagi syarikat untuk memperkukuh tanggungjawab sosial korporat mereka.

“Penajaan haiwan adalah satu cara untuk syarikat menunjukkan komitmen mereka dalam pemuliharaan alam sekitar dan haiwan serta meningkatkan imej syarikat di mata masyarakat.

“Syarikat yang menaja haiwan akan diberi pengiktirafan melalui pendedahan jenama di papan tanda, bahan promosi dan platform Zoo Negara,” kongsinya.

Ujarnya lagi, sejak pelaksanaan program-program seperti penajaan, anak angkat (adoption) dan tanggungjawab sosial korporat, Zoo Negara telah menerima sokongan sangat besar dalam usaha pemuliharaan dan penjagaan haiwan.

Program sebegitu bukan sahaja membantu dari segi sokongan kewangan untuk penyediaan makanan, rawatan veterinar dan enrichment, tetapi juga memperkukuh usaha Zoo Negara dalam memastikan kebajikan haiwan dijaga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN