MASA kecil dahulu, kita selalu disajikan dengan pemikiran seperti ini.
Keluarga si Abu ada kereta, jadi dia adalah orang kaya. Rumah si Ah Meng ada televisyen, dia juga orang kaya. Ayah si Ravi ada kedai runcit, dia juga dianggap anak orang kaya.
Tanggapan seperti ini memang biasa. Bukan hanya kepada masyarakat di kampung dan pedalaman, tetapi juga kepada masyarakat bandar.
Bila kita nampak sesuatu yang lebih pada orang lain, kita merasakan orang itu mewah, berada dan berkemampuan. Hakikatnya itulah pemikiran kita sejak dari dahulu dan masih dipraktikkan sampai ke hari ini.
Zaman kini, tanggapan kita makin bertambah. Pakai baju berjenama, makan di tempat eksklusif, kerap melancong ke luar negara dan speking Mat Salleh adalah ciri-ciri yang kita kategorikan seseorang itu sebagai ‘orang kaya’.
Kita sebenarnya tidak silap dalam membuat tanggapan. Semua itu adalah gambaran yang disajikan sama ada dalam filem mahupun drama-drama tempatan. Dan situasi ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi seluruh dunia.
Sebenarnya, ada macam-macam cara seseorang itu boleh jadi kaya. Ada yang dapat kekayaan secara warisan atau dapat durian runtuh yang tidak dijangka-jangka.
Ada juga jadi kaya sebab perniagaan dan projek selain berbakat dalam bidang-bidang tertentu. Kategori ini biasanya kepada anak-anak seni dan atlet sukan bertaraf dunia.
Semua orang boleh jadi kaya, tetapi kekayaan itu tidak bermakna mereka boleh hidup senang selama-lamanya. Dalam bahasa mudah, kekayaan itu tidak kekal lama dan yang kekal adalah hutang.
Dari sisi lain, ada keluarga yang nampak sederhana. Tinggal di kampung dan mencari rezeki dengan berbudi pada tanah. Kalau ada kenderaan pun, ia sekadar untuk kemudahan bagi memudahkan pergerakan.
Golongan ini kita tidak panggil kaya. Kita biasa gelar mereka sebagai orang kampung, pekebun ataupun peladang. Namun, tanpa kita sedari, mereka ini sebenarnya mempunyai kemampuan harta yang lebih panjang seperti tanah dan ladang. Paling penting, tanpa sebarang hutang.
Secara dasarnya, di Malaysia, pengkategorian orang kaya dan orang miskin sering kali dirujuk berdasarkan pendapatan isi rumah dan taraf hidup. Pengelasan ini boleh dilihat melalui beberapa kategori iaitu M40 dan T20.
Pendapatan bulanan golongan T20 biasanya melebihi RM10,960 (mengikut data semasa). Mereka ini memiliki akses kepada pendidikan, kesihatan dan gaya hidup yang lebih baik berbanding golongan lain.
Kategori orang miskin pula terdiri daripada golongan B40 dan kumpulan ini dipecahkan kepada miskin tegar yang berpendapatan di bawah RM2,208 sebulan. Mereka hidup dengan keperluan asas yang sangat terbatas.
Golongan B40 pula adalah mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah bulanan kurang daripada RM4,850. Mereka termasuklah golongan berpendapatan rendah dan rentan. Mereka ini dapat bantuan daripada kerajaan.
Secara keseluruhannya, perlu ada satu solusi tepat, adil dan berhati-hati dalam kita membuat sebarang dasar. Ini termasuk dalam soal memberi subsidi atau menarik semula subsidi pendidikan kepada golongan-golongan tertentu.
Bukan apa, kita tidak mahu ada pelajar atau individu yang layak mendapat subsidi, namun dinafikan hanya kerana status keluarganya.















