fbpx
Sudah lebih 41,500 penduduk Gaza terkorban ekoran serangan Israel.

Perang Gaza setahun belum bernoktah, sampai bila?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUDAH setahun berlalu, peperangan antara Israel dan Palestin masih belum menunjukkan titik noktah untuk menuju perdamaian.

Perang tercetus pada 7 Oktober tahun lalu, selepas kumpulan Hamas melakukan serangan mengejut ke arah Israel sehingga mengorbankan 1,200 nyawa. Rentetan itu, rejim Zionis telah melancarkan perang habis-habisan terhadap penduduk di Semenanjung Gaza sehingga membunuh lebih 41,500 orang dan mencederakan lebih 96,000 mangsa.

Perbezaan angka korban antara penduduk Israel dan Palestin menunjukkan bagaimana Zionis hanya memprovokasi satu serangan kecil untuk memulakan kembali konflik yang telah berlaku sejak sekian lama. Banyak tragedi berdarah berlaku sehingga Gaza menjadi tempat paling berbahaya di dunia ketika ini.

Gaza merupakan satu wilayah kecil di Palestin dengan berkeluasan 365 kilometer persegi, namun mempunyai populasi penduduk lebih 2.3 juta.

Gaza disifatkan seperti ‘penjara terbuka terbesar’ di dunia kerana seluruh sempadan sepanjang kira-kira 65 kilometer dipagari konkrit, kamera dan sensor elektrik.

Pihak Israel juga mengawal sepenuhnya lautan dan udara di sekitar Gaza. Justeru, hampir 2 juta orang penduduk Gaza terpaksa meninggalkan rumah mereka sejak perang Israel-Palestin bermula.

Israel menyerang tidak kira tempat sama ada hospital, sekolah mahupun kem pelarian sehingga tiada zon dianggap selamat.

Bukan sekadar menyerang dengan bom dan peluru sasar, Israel juga menyulitkan bantuan masuk ke Semenanjung Gaza.

Bantuan pertama melibatkan 20 lori hanya dibenarkan masuk ke Gaza selepas dua minggu serangan. Serangan ke atas Gaza menyebabkan penduduknya melarikan diri ke Rafah dan Khan Younis.

Berkongsi tentang situasi terkini, Pengerusi Badan Pengurusan Nasional Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI), Muhammad Jazuli Ambari berkata, keadaan Gaza sekarang masih sukar menerima bantuan.

“Bantuan kemanusiaan hanya boleh masuk dari Jordan. Di sana, terdapat Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO) yang boleh membantu mengagihkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin,” ujarnya.

Tambahnya, keadaan di Gaza kini amat daif berikutan kos barangan keperluan yang tinggi di beberapa kedai yang masih beroperasi.

Hasil gesaan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), gencatan senjata telah diisytiharkan pada November 2023, tetapi ia hanya bertahan selama seminggu.

Selepas itu, peperangan menjadi lebih dahsyat sehingga menimbulkan pelbagai reaksi oleh masyarakat dunia.

Wakil Amerika Syarikat (AS) berkata, mereka menyokong hak Israel mempertahankan diri dan menjaga keselamatan rakyatnya.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer telah menggesa gencatan senjata dalam perang dan rundingan diadakan segera untuk menghentikan pertempuran.

“Gencatan senjata yang berterusan. Inilah yang mesti berlaku sekarang. Pergaduhan mesti dihentikan,” katanya.

Bagi Presiden Turkiye, Recep Erdoğan dan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, mereka menyifatkan tindakan ketenteraan Israel di Gaza ‘tidak seimbang’ serta melampaui batas.

Malah, Afrika Selatan telah mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague Belanda. Namun, mereka gagal meruntuhkan keangkuhan rejim untuk terus menyerang Gaza.

“Tindakan Israel menunjukkan rancangan mereka untuk ‘memusnahkan asas penting kehidupan’ rakyat Palestin di Gaza,” kata peguam Adila Hassam.

Pada 31 Julai lalu, peperangan antara Israel-Palestin memasuki fasa baharu selepas rejim bertindak membunuh pemimpin utama Hamas, Ismail Haniyeh. Ismail terbunuh dalam ‘serbuan’ Israel di kediamannya di Tehran, Iran.

Rentetan itu, kumpulan bersenjata yang berkuasa di Lebanon iaitu Hezbollah telah melakukan serangan ke atas Israel sebagai sokongan terhadap Hamas.

Campur tangan Hezbollah itu telah membuka ruang kepada Israel untuk melancarkan beberapa serangan udara di Lebanon sejak dua minggu lalu.

Serangan itu menyebabkan ratusan orang terkorban, ramai mangsa cedera, manakala ribuan penduduk mencari tempat perlindungan.

Rejim Zionis telah melabelkan serangan itu sebagai fasa baharu apabila menyerang kira-kira 1,000 sasaran di Lebanon, terutamanya kubu kuat Hezbollah yang mendapat sokongan Iran.

Enggan berdiam diri, Tehran telah bertindak melepaskan peluru berpandu ke arah Israel pada 1 Oktober lalu.

Iran dilaporkan melepaskan peluru berpandu balistik ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap serangan Zionis terhadap sekutunya Hezbollah di Lebanon.

Ketika serangan, penggera amaran telah dibunyikan di seluruh Israel dan letupan boleh didengari di Baitulmuqaddis dan lembah Sungai Jordan.

Laporan media Israel pula mengatakan, sebanyak 100 peluru berpandu telah dilancarkan oleh Iran.

Menurut laporan media, tindakan drastik Tehran itu sebagai tindak balas susulan serangan yang membunuh kepimpinan tertinggi Hezbollah di Lubnan.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyelar tindakan Iran menyerang Tel Aviv dengan melancarkan peluru berpandu balistik.

Beliau berpendapat, Iran melakukan ‘kesilapan besar’ dan ‘akan membayar’ tindakan itu.

Bercakap semasa pembukaan mesyuarat kabinet, Netanyahu berkata, Iran ‘tidak memahami’ tekad Israel untuk membalas serangan terhadap musuhnya.

“Mereka (Iran) akan faham. Kami akan mematuhi peraturan yang kami tetapkan.

“Sesiapa yang menyerang kami, kami akan menyerang mereka semula,” ikrar Netanyahu.

Ketika ini, banyak negara di seluruh dunia termasuk Malaysia menumpukan usaha untuk menamatkan perang semasa bagi mengelak ia merebak dan melibatkan lebih banyak pihak.

Malah, Presiden AS, Joe Biden yang yang terkenal sebagai penyokong kuat Israel memberitahu PBB pada awal Oktober lalu bahawa beliau telah mengemukakan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

“Sekarang adalah masa untuk pihak-pihak memuktamadkan syaratnya, membawa pulang tebusan, menjamin keselamatan untuk Israel dan meringankan penderitaan penduduk di Gaza,” ujarnya.

Hamas dilaporkan akan bersetuju dengan gencatan senjata itu, tetapi menuntut pengunduran Israel di wilayah Gaza. Bagaimanapun, Israel menggelar harapan gencatan senjata yang dicadangkan itu sebagai satu ‘ilusi’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN