“WANITA diuji di saat lelaki tidak mempunyai apa-apa dan lelaki diuji di saat dirinya memiliki segala-galanya.”
Itulah kata-kata yang keluar dari mulut seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Elis.
Menurutnya, perkahwinannya terlerai di saat suaminya memiliki segala-galanya.
“Saya dan suami mengenali antara satu sama lain ketika kami sama-sama menuntut di sebuah universiti di utara Semenanjung.
“Selepas tamat pengajian, kami memilih untuk melangsungkan perkahwinan,” katanya yang kini berusia pertengahan 30-an.
Di awal perkahwinan mereka, Elis banyak membantu suaminya itu dalam aspek kewangan.
Ini kerana Elis berasal daripada keluarga yang agak senang dan dia juga mendapat kerjaya yang agak baik selepas tamat pengajian.
Selepas mereka berkahwin, nasib suaminya dalam bidang pekerjaan tidak sebaik Elis.
Suaminya itu hanya bekerja sebagai kerani di sebuah pejabat meskipun memiliki ijazah.
“Pun begitu, saya tidak kisah kerana suami saya masih mempunyai keinginan untuk bekerja.
“Malah dalam tempoh itu, saya banyak membantu suami saya untuk mencari peluang-peluang pekerjaan yang lebih baik buatnya,” kata Elis.
Elis mengakui, pada awal perkahwinan mereka, dia yang banyak mengeluarkan duit untuk membayar segala bil utiliti, sewa rumah dan bayaran bulanan kereta.
Namun beberapa tahun selepas itu, rezeki suaminya bertambah baik dan hasil bantuan Elis, suaminya mendapat pekerjaan yang lebih baik.
Elis bahagia selepas itu dan perkahwinan mereka juga diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata.
“Selepas beberapa tahun bekerja, suami saya mengambil keputusan untuk berhenti dan dia ingin mengusahakan satu perniagaan bersama rakannya atau dalam kata lain bekerja sendiri.
“Pada mulanya saya tidak membenarkan dia untuk berbuat demikian kerana risiko bekerja sendiri ini amat tinggi.
“Tetapi suami saya tetap dengan keputusannya dan dia memberi alasan bahawa dia tidak boleh lagi bekerja dengan orang dan mahu bekerja sendiri,” kata Elis.
Elis tidak menghalang niat suaminya itu dan dia berdoa agar perniagaan yang ingin dilakukan oleh suaminya itu berjaya.
Malah, dia juga sanggup memberi sedikit modal untuk suaminya itu memulakan bisnes barangan elektrik.
Pada awalnya, suaminya berhadapan dengan kesukaran dan perniagaan yang diusahakan itu tidak berapa menjadi.
“Tahun pertama suami saya mengusahakan perniagaan sendiri dia berhadapan cabaran dari segi jualan yang tidak memberangsangkan.
“Saya yang terpaksa menanggung perbelanjaan keluarga selepas itu dan ada ketikanya kami berdua bertengkar berkaitan hal kewangan.
“Sebagai seorang isteri, saya selalu memanjatkan doa agar urusan perniagaan suami saya dipermudahkan dan berjaya,” ujar Elis.
Hasil kerja keras suaminya, perniagaan yang diusahakan itu bertambah baik.
Malah, kehidupan mereka sekeluarga juga bertambah senang.
“Suami saya sudah mampu untuk membeli rumah sendiri dan dia juga membelikan kereta buat saya.
“Malah, kami juga tidak berhadapan dengan masalah kewangan lagi dan perniagaan suami saya berjalan dengan lancar,” kata Elis.
Tetapi di saat suaminya itu mendapat nikmat kesenangan, sikap suaminya itu juga mula berubah.
Elis menyatakan, suaminya jarang ada di rumah dan memberi alasan sibuk untuk menguruskan perniagaan.
“Tetapi sebaliknya dia ada menjalinkan hubungan dengan wanita lain di belakang saya.
“Semuanya terbongkar selepas saudara saya melihat suami saya ada keluar dengan wanita lain sambil berpegang tangan.
“Malah, saudara saya juga sempat merakam video yang kemudian dihantar kepada saya untuk dijadikan bukti,” terang Elis.
Elis ternyata kecewa dengan kecurangan suaminya itu.
Suaminya kemudian memohon maaf dan meminta agar dia diberikan peluang kedua.
Tetapi suaminya ternyata tidak menggunakan peluang itu dengan sebaiknya.
Suaminya masih menjalinkan hubungan dengan wanita itu dalam diam.
Elis menyatakan, dia mengambil keputusan untuk bertemu dengan wanita itu apabila suaminya ‘kantoi’ buat kali kedua.
“Saya mencari wanita itu dan meminta dia menjelaskan tentang hubungan mereka.
“Wanita itu mengaku dia ada menjalinkan hubungan dengan suami saya. Suami saya bukan sahaja belikan sebuah kereta buatnya, malah wanita itu juga mengakui mereka juga terlanjur berkali-kali,” kata Elis.
Elis tidak dapat menerima apa yang dilakukan oleh suaminya itu.
Setelah mendapatkan nasihat keluarganya, Elis mengambil keputusan untuk berpisah dengan suaminya itu.
“Suami saya cuba untuk memujuk saya tetapi saya nekad dengan keputusan saya untuk kami berpisah.
“Akhirnya kami berdua sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang,” terangnya.














