fbpx
Salah seorang tenaga pengajar JSGM cuba menghidupkan api secara tradisional di Gombak, Selangor baru-baru ini. – ILHAM ZAKARIA

Sekolah hutan platform belajar ilmu Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NOSTALGIA mempelajari kemahiran hidup di hutan bersama ibu sewaktu kanak-kanak masih segar dalam fikiran Mejar (R) Kalam Pie.

Lelaki dari suku Semelai di Negeri Sembilan itu sering dibawa ke hutan dan sungai oleh ibunya untuk mempelajari ilmu turun-temurun sukunya.

Bagaimanapun, tuntutan kehidupan moden telah menyebabkan anak bongsu daripada enam beradik itu dimasukkan ke sekolah kebangsaan ketika berusia tujuh tahun. Berkat kepintarannya,

Kalam Pie berjaya mendapat tempat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Dia seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma jurusan Pengurusan Perniagaan di Institut Teknologi Mara, sebelum berkhidmat di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Biarpun perjalanan hidupnya sama dengan kebanyakan orang lain di luar sana, namun lelaki yang berusia 56 tahun itu tidak pernah melupakan ilmu yang diajar oleh ibunya.

Justeru, dia bersama isteri, Prof. Madya Dr. Norzalifa Zainal mengasaskan Jungle School Gombak Malaysia (JSGM) bagi membantu Orang Asli memelihara ilmu turun-temurun mereka.

Katanya, ‘sekolah hutan’ tersebut berfungsi sebagai program latihan pemerkasaan pengalaman kepimpinan yang menggunakan alam semula jadi sebagai sumber ilmu.

“Orang Asli memiliki ilmu dan kemahiran hidup turun-temurun yang boleh dikongsi bersama orang awam terutamanya berkaitan dengan alam semula jadi.

“Walaupun kini kita sudah ada ilmu dan peralatan moden, namun kemahiran hidup secara alami penting sekiranya berada dalam situasi memerlukan.

“Oleh itu, ilmu ini wajar dikongsi bukan sahaja untuk kelestariannya, malah untuk manfaat bersama,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Kalam Pie ditemui media ketika program di bawah anjuran Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia ke JSGM untuk mempromosi sekolah tersebut sebagai salah satu produk pelancongan di Selangor.

Untuk pengetahuan, JSGM ditubuhkan pada 2011 dengan menjadikan Kampung Batu 12, Gombak sebagai pusat program.

Pembelajaran di JSGM merangkumi kemahiran hidup Orang Asli, mempelajari penggunaan flora dan fauna dan kemahiran asas mencari makanan.

“Selain itu, peserta diajar cara tradisional membuat pondok Orang Asli, kesedaran tentang kelestarian hutan hujan, undang-undang hutan, menyediakan makanan seperti gaya Orang Asli dan program penanaman pokok,” ujarnya.

JSGM diiktiraf oleh Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai amalan terbaik untuk kumpulan Orang Asli pada 2021.

Kini, ‘sekolah hutan’ tersebut memiliki sembilan cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia yang tertumpu kepada ilmu setiap suku Orang Asli.

Antaranya, Hulu Langat untuk suku Temuan, Pantai Cunang (Mah Meri), Ulu Yam (Temuan), Kuala Langat (Temuan).

Di Pahang adalah seperti Pos Lenjang (Semaq Beri), Pos Lanai (Semai) dan Sungai Lembing (Jakun).

Untuk pengetahuan, terdapat 18 suku diiktiraf di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang terbahagi kepada tiga suku etnik iaitu Semang (Negrito), Senoi dan Melayu Proto.

Uniknya di Gombak, peserta berpeluang mempelajari ilmu daripada 10 suku Orang Asli yang merupakan generasi kelima pasukan Senoi Praaq.

Wakil media bergambar kenangan semasa menyertai lawatan ke JSGM.

Senoi Praaq atau Orang Perang dalam bahasa Semai merupakan pasukan unit khas Orang Asli yang dilantik British sewaktu zaman kolonial untuk membantu menangani ancaman komunis.

Kesan peninggalan pemerintahan British tersebut menjadikan Kampung Batu 12 di Gombak sebagai satu-satunya lokasi yang memiliki pelbagai suku Orang Asli.

Menurut Norzalifa, kewujudan JSGM telah berjaya menyatukan Orang Asli daripada pelbagai suku yang tinggal di kampung berkenaan.

Katanya, perkara itu dapat memperkasakan sosioekonomi Orang Asli apabila mereka dapat menjana kewangan dengan menjadi pengajar.

“Kebanyakan anak-anak muda Orang Asli menghadapi cabaran dengan kehidupan di bandar sehingga ada yang terjebak dengan gejala sosial.

“Kesempatan menjana pendapatan membuatkan anak-anak muda bersemangat untuk mempelajari ilmu tradisi daripada orang tua-tua sebelum mengajarnya kepada peserta,” jelasnya.

Setakat ini, terdapat lebih kurang 30 orang ‘guru’ terlibat di bawah JSGM dan mereka bergilir-gilir mengajar peserta mengikut pakej.

Dahulu, Orang Asli di sini hanya menjana RM50 sebulan dengan menjual sumber hutan, tetapi kini mereka sudah mampu meraih RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dengan menjadi tenaga pengajar.

Ketika lawatan ringkas pihak media di Gombak, peserta turut dibawa ke Muzium Orang Asli untuk memahami latar belakang masyarakat pribumi tersebut.

Kemudian, peserta diajar cara menyalakan api secara semula jadi oleh suku Semelai, mendengar muzik pensol suku Semai dan menganyam atap cara suku Temiar.

Sebelum lawatan tamat, peserta dihidangkan dengan masakan dalam buluh mengikut resipi suku Mah Meri dan Temiar.

Ujar wanita berasal dari Alor Setar, Kedah itu, pihaknya sudah mula dihubungi oleh masyarakat Orang Asli di luar negara untuk mengaplikasikan konsep sama dalam komuniti mereka.

“Sebenarnya, kami merupakan perintis kepada konsep sekolah hutan ini. Oleh itu, kami sekarang menjadi contoh kepada Orang Asli di luar negara.

“Kami juga sedang berusaha meyakinkan kementerian untuk memasukan ilmu asas survival Orang Asli ke dalam silibus di tadika atau sekolah,” ujarnya.

Secara umumnya, pengunjung boleh memilih pakej ilmu yang mahu dipelajari daripada Orang Asli seperti kemahiran hidup, kelestarian alam, penyelidikan, terapi dan edutourism.

Pakej pembelajaran dibahagikan kepada separuh hari, seharian atau dua hari.

Setakat ini, JSGM sudah berkongsi ilmu dengan peserta daripada pelbagai latar belakang sama ada dari dalam atau luar negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN