fbpx
Salah sebuah rumah amal yang diserbu pihak berkuasa dalam Op Global di Selangor baru-baru ini.

Tak sah taraf jika ibu bapa GISBH tak mengaku anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebahagian kanak-kanak yang menjadi penghuni rumah amal GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) berdepan berisiko untuk menjadi anak tidak sah taraf atau wati’ syubhah jika tiada ibu bapa yang mengaku itu anak mereka.

Kebimbangan itu semakin kuat apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mendedahkan terdapat ahli GISBH yang berkahwin empat dan memiliki 34 anak, namun hanya dua daripada mereka yang dikenali.

Malah ada ahli yang mendaftar perkahwinan secara rasmi di pejabat agama selepas mengan­dungkan anak, menyebabkan kanak-kanak itu terpaksa ‘dibinkan’ atau binti Abdullah.

Mengulas mengenai isu ini, peguam syarie, Nurul Atikah Abd. Rashid memberitahu, perkara itu boleh terjadi jika tiada pengakuan nasab yang sahih daripada ibu bapa mereka, sekali gus status anak-anak itu menjadi samar.

Selain itu katanya, risiko tersebut juga sememangnya wujud apabila perkahwinan ibu bapa kanak-kanak tersebut diragui kerana tiada sijil nikah dan tidak didaftarkan di negara ini.

“Pernikahan yang tidak didaftarkan perlu disahkan di mahkamah syariah terlebih dahulu.

“Jika cukup rukun syarat nikah, mahkamah akan mengesahkan pernikahan tersebut, dan anak yang lahir daripada pernikahan tersebut boleh dinasabkan kepada bapa kandung,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Menurutnya, jika pernikahan itu tidak sah dan tidak mengikut hukum syarak, anak tersebut kemungkinan anak wati’ syubhah iaitu anak yang dilahirkan daripada persetubuhan syubhah.

“Ibu bapa anak tersebut perlu memfailkan dulu kes pengesahan nikah untuk tahu status perni­kahan sama ada sah atau tidak.

“Jika nikah tidak sah, perlunya failkan kes pengesahtarafan nasab anak di mahkamah syariah. Mahkamah akan menentukan sama ada anak tersebut wati’ syub­hah atau anak tidak sah taraf berdasarkan keterangan ibu bapa tersebut,” katanya.

Tambahnya, peruntukan undang-undang berkaitan persetubuhan syubhah ada terkandung dalam Seksyen 114 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Enakmen yang sama dalam tafsiran berkaitan persetubuhan syubhah menjelaskan persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah.

“Akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan tidak dihukum had dalam Islam,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow menggesa isu berkaitan anak-anak ahli GISBH disiasat dengan teliti dengan bantuan badan atau agensi yang berkaitan.

Katanya, isu nasab tidak boleh dibuat mainan oleh mana-mana pihak kerana boleh memberi kesan kepada kanak-kanak terlibat serta masyarakat sekeliling.

“Harap pihak-pihak yang berkaitan dapat kemuka segala bukti yang ada bagi menentukan nasab kanak-kanak yang terlibat,” katanya.

Baru-baru ini, Razarudin mendedahkan terdapat juga kanak-kanak terutamanya di bawah 12 tahun yang tinggal di rumah amal berkenaan tidak mengenali ibu bapa mereka yang dalam kalangan ahli GISBH.

Katanya, kebanyakan ahli GISBH juga dilatih untuk tidak mendedahkan anak-anak mereka,­ sebaliknya mengatakan kanak-kanak itu adalah anak ­yatim piatu.

Setakat ini, lebih 500 kanak-kanak yang menjadi penghuni rumah amal atau jagaan berkaitan syarikat itu telah diselamatkan menerusi Op Global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN