PENDANG – Lebih 2,000 penduduk di empat kampung di kawasan Tanah Merah, di sini resah apabila kawasan rumah digenangi banjir termenung sejak seminggu lalu.
Menurut Penduduk Kampung Alor Ali, Ahmad Shafie, 34, rumahnya masih dinaiki air dan dijangka lima hari lagi surut sekiranya air laut masih pasang.
“Hampir kesemua penduduk telah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) menyebabkan kawasan kampung sunyi.
“Jadi saya dan rakan ambil inisiatif ronda beberapa kampung menempatkan kira-kira 500 rumah dengan bot,” katanya di sini semalam.
Katanya, rondaan dilakukan di Kampung Alor Ali, Kampung Alor Mengkuang dan Kampung Tok Pauh untuk memastikan kawasan kampung selamat daripada kejadian pecah rumah.
“Kami ronda pada sebelah pagi dan petang. Hasil pemerhatian air surut tapi sedikit sahaja iaitu kira-kira dua inci,” jelasnya.
Penduduk kampung sama, Mohd. Rashidi Muda, 48, yang melakukan kerja-kerja kampung berkata, rumahnya sudah seminggu tenggelam banjir.
“Kami pindah ke PPS, saya dan isteri kadang-kadang balik untuk tengok rumah dan bagi tujuh ekor kucing makan,” ujarnya.
Ujarnya, banjir kali ini agak teruk selepas kejadian banjir besar pada 2010.
Penduduk Kampung Rambai, Muhammad Affendi Mahmud, 30, berkata, rumahnya sudah digenangi air sejak lima hari lalu.
“Kawasan kampung di sini biasanya banjir lambat surut. Memang lama nak tunggu dan mungkin lambat lagi keluarga boleh balik rumah,” katanya.














