fbpx

Perlis sasar lapan emas Para Sukma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN atlet Para Sukma Perlis bergambar selepas majlis penyerahan bendera kontinjen di sebuah hotel di Kangar semalam.

KANGAR – Kontinjen Para Sukan Malaysia (Sukma) Perlis melaungkan cabaran sengit pada temasya Para Sukma Sarawak dengan menjadikan pencapaian cemerlang skuad Singa Utara sebagai pembakar semangat.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Musa Salim berkata, barisan atlet yang mewakili Perlis untuk Para Sukma kali ini mempunyai keinginan luar biasa bagi menyaingi pencapaian kontinjen Sukma yang berjaya mengutip 12 emas.

“Kita suntik semangat atlet-atlet Para Sukma semasa latihan pusat atau Kem Akhir Para Sukma Perlis dengan motivasi yang tinggi agar mereka berjuang bersungguh-sungguh untuk membawa pulang pingat buat negeri.

“Untuk temasya kali ini, kontinjen Perlis menghantar 65 atlet bersaing dalam enam daripada 10 sukan dipertandingkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bendera kontinjen di sini semalam.

Bendera kontinjen diserahkan oleh Pengerusi Para Sukma negeri, Maznah Musa kepada Musa selaku Chief de Mission (CDM) Para Sukma Perlis.

Tambahnya, Perlis menyasarkan membawa pulang lapan pingat emas khususnya menerusi acara olahraga, tenpin boling, para powerlifting dan boling padang. 

Menurut Musa, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Perlis dari segi perkongsian kepakaran serta menggunakan fasiliti sukan untuk latihan sekali gus menunjukkan atlet Para Sukma mendapat layanan sama rata dengan atlet normal.

“Pakaian sukan dan insentif pingat juga sama dengan atlet normal bagi memastikan atlet Para negeri Perlis tidak merasa terpinggir,” katanya.

Dalam pada itu, Musa turut memaklumkan penyertaan kontinjen Perlis dalam temasya Para Sukma kali ini adalah paling ramai dan lebih ramai atlet muda menyertai kontinjen sebagai pendedahan awal kepada mereka untuk digilap bakat.

“Jadi kita harap atlet-atlet ini nampak peluang untuk mewakili Malaysia terbuka luas dan kita harapkan Perlis akan terus melahirkan jaguh-jaguh berkelas dunia untuk mengharumkan nama negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI