PETALING JAYA – Menjadi hos atau pengacara jualan secara langsung di media sosial khususnya TikTok kini semakin popular dalam kalangan orang muda sehingga mereka mampu menjana pendapatan lumayan mencecah RM20,000 sebulan.
Menariknya, jadual kerja sebagai hos TikTok juga sangat fleksibel dengan rata-rata pengacara bersiaran langsung pada waktu malam iaitu antara pukul 8 malam hingga 2 pagi.
Selain dibayar gaji pokok setiap bulan, hos atau pengacara turut diberikan komisen tambahan bergantung kepada jualan yang diraih untuk tempoh-tempoh tertentu.
Seorang hos jualan Tik Tok di sebuah syarikat di Sentul, Kuala Lumpur, Ikmal Hisham, 35, berkata, dia memilih untuk menjadi hos jualan sejak tahun lalu memandangkan pekerjaan itu agak mudah dan mempunyai masa yang fleksibel.
“Tugas saya untuk mengacara jualan bermula pukul 8 malam dan kerja lima hari seminggu. Jadi, saya tidak perlu bersesak ke tempat kerja.
“Apa yang menarik adalah pendapatan sebagai hos agak tinggi dan boleh cecah antara RM15,000 sehingga RM20,000 sebulan jika ditambah dengan komisen jualan yang berjaya kita capai setiap hari,” katanya yang pernah bertugas sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan di Singapura.

Katanya, kebanyakan syarikat jualan terutamanya produk-produk kecantikan dari China telah menggunakan teknik jualan di media sosial kerana ia lebih menguntungkan.
“Sebab itu banyak syarikat di Malaysia yang ambil kontrak dan mencari pengacara ‘live’ TikTok. Sekarang ini pekerjaan ini semakin popular dan menjadi rebutan dalam kalangan orang muda di negara ini,” jelasnya.
Seorang bakal doktor dikenali sebagai Shahlizah, 26, berkata, dia mula terlibat sebagai hos TikTok selepas menamatkan pengajian di salah sebuah universiti awam.
“Saya lebih rela kerja sebagai hos memandangkan pendapatannya yang lumayan. Malah, saya merupakan antara top seller sejak April lalu.
“Gaji asas biasanya bermula RM3,500 dan jika dicampur dengan kerja lebih masa dan komisen pendapatan sebulan, bolehlah capai angka RM20,000,” katanya.
Di George Town, Pulau Pinang, seorang bekas pembantu jualan di butik kasut terkemuka, Abidah Abd Kadir, 34, berkata, dia menganggap keputusannya untuk berkecimpung sebagai hos jualan langsung sejak enam bulan lalu adalah tepat sehingga mampu meraih sehingga RM5,000 sebulan.

“Sudah lebih 10 tahun saya bekerja sebagai promoter kasut dengan gaji di bawah RM2,000. Kini, kehidupan saya agak baik sejak menjadi hos jualan di media sosial.
“Saya lebih banyak masa bersama keluarga dan pendapatan juga bergantung kepada usaha dan strategi ketika bersiaran langsung,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.
Di Kota Bharu, Kelantan, seorang peniaga jamu tradisional, Vivi Sumanti Che Ahmad, 47, berkata, berniaga dan menjadi hos jualan langsung di platform TikTok sudah menjadi trend dalam kalangan peniaga sepertinya.
Katanya, selain tidak memerlukan modal yang besar, keupayaan menjana jualan juga lebih terbuka apabila siaran langsungnya dapat diikuti di seluruh dunia.
“Dari segi keuntungan, sepanjang menceburi perniagaan dalam talian, hasil jualan telah mendapat keuntungan berlipat kali ganda berbanding jualan di kedai.
“Dalam sehari, jualan produk saya boleh mencecah RM1,000 sehari dan dalam sebulan, dapatlah pulangan RM30,000,” katanya.
Di Sungai Petani, Kedah, seorang bekas penolong pengurus syarikat swasta, Norjuliana Yaakob, 34, berkata, dia mampu meraih komisen antara RM100 hingga RM3,000 sehari sejak menjadi hos jualan di media sosial.
“Paling menyeronokkan apabila pendapatan yang kita raih itu adalah bersih tanpa perlu fikir tentang modal atau kos minyak kereta untuk ke pejabat.
“Syaratnya hanya perlu rajin dan konsisten buat live. Biasanya, saya akan mejadi hos jualan langsung antara dua hingga tiga jam setiap hari,” katanya.
Di Shah Alam, Selangor, seorang bekas pekerja swasta memilih untuk menceburi bidang hos jualan di TikTok sejak empat tahun lalu sehingga jualan barangan dan pakaian ‘bundle’ yang diusahakan mampu meraih RM4,000 sehari.
“Untuk jualan di Tik Tok kenalah ikut masa puncak. Contohnya pukul 10 malam sampai 12 malam. Jualan pula bergantung kepada jumlah penonton yang masuk dalam live kita ketika itu,” katanya.














