ADA dua hari bersejarah yang wajib diingati oleh setiap individu yang mengaku sebagai warganegara Malaysia.
Dua hari ini dianggap sebagai hari kebangsaan berkembar dan akan diraikan dengan penuh simbolik dan semangat patriotik setiap tahun.
Pertamanya adalah Hari Kemerdekaan yang diraikan pada 31 Ogos setiap tahun sebagai tanda memperingati kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajahan British pada tahun 1957.
Hari bersejarah kedua pula ialah Hari Malaysia iaitu hari untuk seluruh rakyat meraikan penyatuan wilayah yang membentuk sebuah negara bernama Malaysia.
Menariknya, hanya pada tahun 2010 Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September diisytiharkan sebagai cuti am di seluruh negara.
Sebelum itu, hanya Sabah satu-satunya negeri yang menjadikan 16 September sebagai hari kebesaran negeri dan dijadikan sebagai cuti umum sejak sekian lama.
Tidak cukup dengan itu, sambutan Hari Malaysia yang mula diadakan pada 2015 turut memilih Sabah sebanyak empat kali sebagai tuan rumah untuk memperingati hari bersejarah itu.
Namun, di sebalik reputasi Sabah sebagai sebahagian wilayah penting kepada kewujudan sebuah negara bernama Malaysia, masih banyak sebenarnya ‘isu’ yang menghimpit negeri di bawah bayu itu.
Isunya berkisar mengenai cabaran besar yang dihadapi oleh sebahagian rakyat, terutamanya yang tinggal di luar bandar dan kawasan pedalaman.
Cabaran ini sebenarnya bukan hanya membelenggu Sabah, tetapi turut dirasai negeri-negeri lain termasuk yang berada di Semenanjung Malaysia.
Perkara asas yang kerap kali dibangkitkan oleh penduduk luar bandar dan pedalaman adalah ketiadaan infrastruktur yang mencukupi.
Banyak kawasan masih kekurangan akses kepada jalan raya yang baik, elektrik, bekalan air bersih dan kemudahan asas seperti sekolah dan klinik kesihatan.
Ketiadaan kemudahan ini bukan hanya memberi tekanan kepada sosio ekonomi penduduk, malah menyukarkan kehidupan harian mereka terutamanya dalam aspek pendidikan dan kesihatan.
Kanak-kanak di kawasan pedalaman terpaksa berjalan kaki berjam-jam untuk sampai ke sekolah. Anak-anak ini meredah laluan berlumpur dan terpaksa bertarung nyawa setiap hari menggunakan pengangkutan air selain berulang-alik meniti jambatan usang demi pendidikan terbaik.
Jika ada pun sekolah yang dibina, kemudahannya mungkin tidak mencukupi jika dibandingkan dengan keadaan sekolah-sekolah di kawasan bandar.
Hakikatnya, isu kemunduran seperti ini bukanlah isu remeh, namun ia adalah isu nasional yang masih gagal diselesaikan walaupun selepas 61 tahun Malaysia terbentuk.
Sempena Hari Malaysia hari ini, adalah penting untuk kita semua baik rakyat mahupun pemimpin untuk tidak sesekali melupakan kesusahan yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di luar bandar dan kawasan pedalaman.
Ingatlah bahawa semangat patriotisme itu bukan hanya ada dalam diri orang bandar, tetapi turut tertanam rapi dalam diri anak-anak yang berada di luar bandar.














