DALAM era digital dan kecerdasan buatan (AI) dewasa ini, generasi muda amat menggemari seni muzik yang dihasilkan menerusi alat muzik moden seperti gitar elektrik.
Nama pemain gitar antarabangsa terkenal seperti Steve Vai, Joe Satriani, Slash, Kai Hansen atau pemain gitar tempatan seperti Man Kidal dan Hillary Ang sentiasa menjadi buah mulut peminat mereka.
Namun, apabila disebut nama pemain gambus tersohor pasti anak muda hari ini menggaru kepala mencari jawapannya. Bagi peminat muzik tradisional terutama ghazal pasti mengenali ikon pemain gambus dalam seni muzik tersebut. Antara ikon tersebut adalah arwah Fadhil Ahmad yang cukup terkenal suatu waktu dahulu.
Persoalannya, dalam zaman serba moden dan penuh inovasi ini, masih adakah individu dalam kalangan generasi muda yang akan meneruskan legasi muzik ghazal?
Seorang bekas pensyarah muzik, Abdullah Mohd. Redza, 38, memberitahu, pemain gambus yang hebat sebenarnya tetap wujud seperti pemain gitar tetapi tidak ditonjolkan oleh pihak media sebagaimana pemain gitar dalam kumpulan muzik rock mahupun metal.
Biarpun permainan gambus boleh dikatakan masih ada kelompok aktif yang memainkannya, namun sebaliknya bagi pembuatan gambus apabila bilangan yang mengusahakannya di negara ini sangat sedikit. Tanpa pembuat gambus, bagaimana instrumen tradisional ini dapat terus dihidupkan dalam dunia kian moden ini?
Abdullah merasakan sudah sampai masanya untuk memastikan ghazal dan alat muzik gambus dipertahankan agar dikenali dan dicintai generasi hari ini.
“Sebab itu saya memilih untuk membina kerjaya baharu dengan menjadi pembuat gambus di Kampung Batu 7, Jalan Kebun Shah Alam sejak April lalu.
“Sebagai pengenalan, gambus merupakan sejenis alat muzik bertali yang mempunyai 11 hingga 12 jalur talinya.
“Alat muzik ini berbentuk bujur pada permukaan dan belakangnya mirip bawang dipotong dua,” katanya ketika ditemui Panorama di kedainya baru-baru ini.
Abdullah yang berasal dari Negeri Sembilan berkata, gambus dibawa oleh pedagang Arab Parsi sekitar tahun 1800 sehingga popular di Tanah Melayu terutama di negeri Johor.
Instrumen ini jelasnya, dimainkan dalam muzik ghazal yang popular dalam majlis perkahwinan.
“Muzik gambus ini diwarisi dengan adanya perkahwinan campur antara orang Melayu dan pedagang Arab.
“Saya sendiri belajar muzik dan membuat gambus peringkat diploma dan ijazah dalam kursus teknologi pembuatan alat muzik semasa belajar di Akademi Seni Budaya dan
Warisan Kebangsaan (Aswara),” kata Abdullah yang dikenali dengan nama Dollah Gambus.
Abdullah yang pernah mengajar di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dia bukan sahaja belajar secara teori dan praktikal di Aswara, malah ke Parit Hailam, Senggarang, Batu Pahat, Johor untuk mendalami seni membuat gambus.

Jelas Abdullah, selama beberapa bulan, dia tekun mempelajari seni membuat gambus daripada gurunya, Halidan Ithnin.
“Buat masa ini, boleh dikatakan guru saya di Senggarang dan saya di sini sahaja mengusahakan pembuatan alat gambus. Maknanya kini, peminat gambus mempunyai dua pembuat gambus untuk membuat tempahan.
“Kebanyakan pelanggan boleh dikatakan adalah pemain muzik gambus yang saya kenali kerana dalam bidang muzik gambus ini kami saling mengenali,” katanya.
Gambus sebagai alat muzik yang unik katanya sudah pasti memerlukan kemahiran istimewa untuk membuatnya kerana turut memberi kesan dari segi harga.
Abdullah memberitahu, harga sebuah gambus boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada kayu yang membentuk sesebuah gambus tersebut.
“Antara kayu yang digunakan untuk membuat gambus adalah kayu jati dan kayu seraya. Jika pelanggan inginkan material lebih berkualiti, saya akan dapatkan kayu spruce yang dipesan dari Indonesia,” jelasnya.
Ceritanya, cabaran utama dalam menghasilkan gambus adalah teknik melentur dan mengetam kayu untuk membentuk badan gambus yang halus seni pembuatannya.
Proses tersebut katanya, perlu dilakukan dengan cermat dan teliti.
“Kerja seni sebegini memerlukan masa yang lama dan dengan bantuan seorang pekerja yang juga pelajar saya dari UiTM, pengeluaran gambus kami masih terhad.
“Maka, untuk menghasilkan secara komersial, saya masih tidak mampu lagi. Mungkin pada masa depan ia boleh dilakukan apabila saya mempunyai kekuatan modal dan lebih ramai tenaga kerja mahir,” katanya yang menerima tempahan membuat gambus sehingga empat unit sebulan.
Selain membuat gambus, Abdullah turut menyediakan perkhidmatan membaiki alat gambus dan menambah baik kualiti bunyinya serta mengadakan kelas gambus.
Katanya, rata-rata pelanggan yang membaiki gambus adalah kelompok pemuzik tradisional yang juga rakan sealirannya yang sering berhubung di media sosial dari seluruh negara.
“Caj yang saya kenakan bergantung kepada apakah perkhidmatan yang mereka perlukan. Lebih rumit maka lebihlah cajnya.
“Contohnya, jika ada pemilik gambus ingin membaiki kerosakan gambus mereka dan ingin jadikannya lebih menarik dimainkan, saya akan melakukan proses pemulihan atau restorasi hingga mencapai kualiti yang diperlukan,” ujarnya.
Mengulas pula mengenai kelas bermain gambus, jelas Abdullah, skil bermain gambus tidak boleh dikuasai sehari dua kerana memerlukan latih tubi seperti permainan instrumen bertali yang lain.
“Apa yang penting, minat dan bakat perlu seiring bagi memastikan bunyi yang dihasilkan dari petikan gambus digabung bersama akordian dan gitar menghasilkan muzik ghazal sebenar.
“Sekali pandang juga, macam susah untuk orang badan berisi memegang gambus. Sebenarnya dengan teknik dan kaedah bermain yang betul ia boleh dilakukan dengan sempurna,” jelasnya.
Abdullah yang pernah bermain gambus untuk konsert artis tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Noraniza Idris dan lain-lain berkata, dia kini mempromosi produknya atas nama Gambus Hub di semua akaun media sosial seperti Tik Tok, Facebook dan Instagram.
“Zaman ini adalah era media sosial.
“Biarpun ghazal dan gambus sinonim gelaran muzik tradisional tetapi media sosial akan menjadi promosi untuk memastikannya kekal relevan sampai bila-bila,” katanya.















