fbpx
GOLONGAN yang dikategorikan sebagai stateless (tidak mempunyai warganegara) mengalami kesukaran untuk hidup seperti individu lain di negara ini. – SYAKIR RADIN

Komuniti ‘stateless’, hidup bagai melukut di tepi gantang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANJANG membesar, Wiwin Handayani menyangka punca utama dia tidak bersekolah adalah disebabkan masalah dalaman keluarga.

Tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya bahawa situasi tersebut berlaku disebabkan masalah dokumen yang menjadikannya berstatus stateless (tidak memiliki kerakyatan).

Sementara itu, kakak, abang dan adiknya memiliki status warganegara yang membolehkan mereka menjalani kehidupan normal seperti individu lain.

Namun, semuanya berubah saat wanita berusia 22 tahun itu membaca tulisan Vanessa di ruang Reddit mengenai dilemanya sebagai individu stateless.

Ujarnya, luahan Vanessa memberikannya rasa solidariti dan mula menghubungi wanita itu untuk bersama-sama berusaha mendapatkan status kewarganegaraan mereka.

“Ketika kecil, saya malu kerana saya seorang sahaja tidak bersekolah. Ada masanya, kakak akan ajar saya membaca dan mengira berdasarkan silibus di sekolah.

“Namun, setelah membaca luahan Vanessa, baru saya faham situasi saya yang sebenarnya. Kini, saya tidak lagi rasa keseorangan,” jelasnya.

Untuk pengetahuan, Wiwin merupakan anak ketiga hasil perkahwinan seorang lelaki warga Indonesia berstatus penduduk tetap dan seorang wanita warga Indonesia.

Mengulas lanjut, Wiwin berkata, kesilapan data di dalam surat beranaknya berkemungkinan menjadi punca nasibnya berbeza berbanding adik-beradik lain.

Ini kerana, biarpun surat beranaknya memiliki nombor kad pengenalan, namun statusnya ditulis bukan warganegara.

Sedangkan surat beranak adik-beradiknya yang lain pula memiliki nombor kad pengenalan serta berstatus warganegara.

Bahkan, pada rekod ibunya juga mengalami kesalahan data apabila usia yang dicatat adalah 11 tahun saat dia melahirkan Wiwin.

Kini, adik-beradiknya yang lain turut berusaha untuk membantu Wiwin mendapatkan kerakyatan negara ini demi masa depan yang lebih cerah.

“Adik bongsu saya belajar sampai ke universiti. Tapi saya tak dapat akses kepada kelebihan asas yang diterima oleh warganegara.

“Saya tak boleh buka akaun bank, sukar mendapat pekerjaan dan tak dapat akses kepada kemudahan kesihatan yang diterima adik-beradik saya,” jelasnya.

Wiwin ditemu bual ketika di program Enggang dan Pipit anjuran badan bukan kerajaan (NGO), Akar Umbi Society yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Program Enggang dan Pipit merupakan sebuah platform yang menyediakan peluang kepada individu daripada pelbagai latar belakang untuk bertemu dan berkomunikasi.

Untuk edisi merdeka, Akar Umbi memilih untuk menumpukan kepada isu yang dihadapi oleh golongan stateless dalam usaha mereka mendapatkan status kewarganegaraan.

Peserta pada kali ini berumur antara 16 hingga 38 tahun yang terdiri daripada 14 individu.

Antara aktiviti teras program Enggang dan Pipit adalah Agreement Quadrant (setuju atau tidak), Story Walk (berkongsi cerita), Breaking Stereotypes (memahami stereotaip komuniti) dan Reflection Circle (ungkap hasil hari tersebut).

Berbeza dengan Wiwin, Vanessa merupakan anak luar nikah bagi pasangan wanita Indonesia dan lelaki berbangsa Cina warga tempatan.

Oleh kerana bapanya enggan bertanggungjawab, wanita berusia 21 itu tidak mendapat status warganegara yang sepatutnya boleh diwarisi daripada bapanya.

Wakil Akar Umbi, Kevin Rohan Thomas (berdiri) memberi penerangan kepada peserta program Enggang dan Pipit.

Lebih malang, kelahirannya hanya didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika usianya enam tahun apabila dia didaftarkan oleh kakak kepada bapanya.

Namun Vanessa tetap dikategorikan sebagai bukan warganegara dan tidak layak bersekolah. Jadi, dia terpaksa menuntut ilmu di pusat tuisyen.

Anak kelahiran Selangor itu sangat berharap, dia boleh mendapat kad pengenalan merah, sekali gus menghentikan status stateless.

“Saya tak boleh ubah masa lalu ibu bapa saya. Tapi saya berharap dapat teruskan hidup dengan lebih baik tanpa bergantung kepada sesiapa.

“Seperti orang lain, saya pun mahu berkeluarga suatu hari nanti. Saya berharap anak-anak saya tidak perlu lalui diskriminasi seperti saya,” ujarnya.

Orang tanpa kerakyatan merujuk kepada mereka yang dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia tetapi terjerumus dalam beberapa situasi.

Antaranya adalah tidak mendaftar bagi orang yang lahir sebelum merdeka, pendaftaran kelahiran yang terlalu lewat, ditinggalkan semasa lahir dengan sedikit maklumat untuk mengesan ibu bapa mereka atau mewarisi status tidak berkerakyatan daripada ibu mereka.

Setakat ini, tiada angka tepat untuk menentukan bilangan individu tanpa kerakyatan di Malaysia.

Namun berdasarkan anggaran, angka itu telah meningkat dari 12,000 hingga 16,000 di Semenanjung Malaysia pada tahun ini.

Bagi Sabah dan Sarawak pula, tiada angka rasmi walaupun beberapa laporan menganggarkan jumlahnya mencecah 300,000.

Sementara itu, pemacu impak Akar Umbi, Wong Chen Li berkata, peminggiran berlaku apabila komuniti disalahfahamkan dan distereotaipkan sehingga membawa kepada naratif lemah yang bergantung kepada pandangan satu pihak saja.

“Masyarakat secara umumnya cenderung takut dengan perkara yang mereka tidak tahu dan akhirnya mudah terpedaya dengan stereotaip serta prejudis.

“Ini menyebabkan golongan terpinggir mengalami diskriminasi dalam ruang sosial, ekonomi dan politik, sekali gus mengehadkan akses kepada hak mereka.

“Oleh itu, kami menyediakan platform yang selamat buat individu tidak berkerakyatan untuk sama-sama berkongsi cerita,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta program Enggang dan Pipit, Nur Afifah Suhaimi berkata, peluang bertemu golongan stateless merupakan satu pengalaman yang telah membuka mata dan mindanya.

Kata penyelaras perkhidmatan di sebuah syarikat swasta itu, berkomunikasi secara berhadapan lebih baik berbanding sekadar membaca menerusi berita-berita di media massa.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menerima secara terbuka bahawa mereka ini wujud dan memerlukan peluang untuk kelangsungan hidup.

“Saya lebih memahami situasi sebenar dan melihat mereka lebih daripada sekadar ‘beban’ kepada negara seperti yang digambarkan sesetengah pihak,” tuturnya.

Bagi orang ramai yang berminat untuk menyertai program Enggang dan Pipit yang seterusnya, anda boleh melihat kemas kini pada media sosial Akar Umbi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN