fbpx
Gambar hiasan

Jangan bermuka ‘kelat’ nanti bisnes malap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kebanyakan daripada kita mungkin pernah mengalami situasi tidak mendapat layanan yang dihajatkan bila berurusan dengan peniaga terutama membabitkan pembelian makanan di restoran atau kedai makan.

Kita sering membaca tentang sikap peniaga serta pekerja sesebuah kedai makan yang tidak mesra pelanggan dan melayan orang yang datang acuh tak acuh sahaja, selain bermuka ‘kelat’ seolah-olah mereka adalah musuh.

Mungkin mereka fikir perasaan pelanggan tidak penting kerana beranggapan jika seorang merajuk dan tidak datang lagi selepas itu, beribu lagi akan berkunjung untuk menjamu selera di situ disebabkan menu yang disajikan semuanya sedap dan memenuhi selera.

Ketahuilah kualiti serta kesedapan makanan semata-mata tidak dapat menjamin kelangsungan perniagaan sebuah restoran atau kedai makan, kerana layanan mesra daripada peniaga juga memainkan peranan penting untuk terus memikat hati pelanggan.

Layanan kurang mesra peniaga berlaku kepada penulis baru-baru ini ketika memberhentikan kenderaan untuk membeli sarapan di sebuah kedai makan yang agak popular di satu lokasi sebelum tiba ke Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.

Penulis tertarik dengan ramainya pengunjung yang masuk ke kedai tersebut membuatkan terdetik di fikiran mungkin makanan yang disediakan sedap dan menyelerakan.

Namun, semuanya tidak seperti jangkaan, layanan peniaga dan pekerjanya bagi penulis amat tidak sesuai untuk dipraktikkan kepada pelanggan yang datang.

Ketika beratur ingin mengambil makanan yang berbungkus, terdengar suara yang agak kasar memarahi pelanggan yang mengambil makanan yang disusun dari bawah dengan mengatakan sepatutnya diambil dari sebelah atas.

Mungkin pelanggan itu salah, namun ada cara lebih sopan boleh dibuat, bukannya memarahi pelanggan kerana tanpa pelanggan, pekerja terbabit tidak akan mendapat gaji.

Ketika diminta membungkus nasi lemak, seorang pekerja mengambilnya dengan muka yang masam, hanya meletakkan nasi dan sambal tanpa memasukkan telur dan timun, padahal ia ada di depan mata. Tak kan tak tahu nasi lemak yang lengkap perlu ada nasi, sambal, telur dan timun.

Pada ketika itu, teringat dengan kisah cef selebriti, Cef Zam baru-baru ini yang berang dengan sebuah restoran terkenal yang menjual nasi lemak tanpa sambal dan perlu menambah duit jika mahu sambal.

Kalau beginilah cara berniaga, ia tidak akan bertahan lama kerana tidak menjaga hati pelanggan. Perlu diingat pelanggan adalah raja, apa sahaja pelanggan buat sepatutnya peniaga perlu bersabar.

Apabila pembeli datang menyapa walaupun kadang-kadang tak beli, tapi senyumlah kerana sebagai peniaga, perlu sentiasa memaniskan wajah dan jangan sekali-kali buat muka kelat bila orang datang berkunjung ke tempat jualan kita.

Jika keadaan ini berterusan, lama-kelamaan orang berasa bosan dan jemu dengan cara kita berurusan dengan pelanggan, akhirnya kita juga yang akan rugi. Justeru, jangan sekali-kali mencari gaduh dengan pelanggan, buruk akibatnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN