fbpx
MAYAT seorang individu yang ditemui mati sendirian dibawa ke hospital. - GAMBAR HIASAN

80 kes mati sendirian direkodkan di Perlis sejak 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Sebanyak 80 kes yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) secara bersendirian direkodkan di ne­geri ini sejak tahun 2022 hingga 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, jumlah tersebut merangkumi kematian secara semula jadi dan juga kes bunuh diri.

Katanya, kes SDR ini sering berlaku dalam pelbagai kategori dan melibatkan golongan bujang, orang kelainan upaya (OKU), penyewa bilik serta warga emas.

“Faktor utama kematian sendirian di rumah adalah di­sebabkan penyakit kronik ­seperti serangan jantung, darah tinggi dan penyakit lain yang berkaitan.

“Terdapat juga kes bunuh diri yang didorong oleh tekanan ekonomi dan beban hidup yang dihadapi oleh mangsa,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurut Muhammad, kes-kes SDR turut dilaporkan berlaku di pelbagai lokasi selain di rumah seperti kebun, tali air dan kawasan sawah yang menjadikan pencarian mayat
lebih mencabar.

“Keadaan mangsa ketika ditemui juga berbeza-beza, ada yang segera dikesan oleh ahli keluarga dan ada juga yang ditemui terbiar selama dua hingga tiga hari. Ia bergantung kepada usaha pencarian oleh keluarga dan pihak berkuasa seperti polis dan agensi lain,” ujarnya.

Muhammad menjelaskan kes SDR di Perlis melibatkan mangsa daripada pelbagai peringkat umur bermula lingkungan 20-an hingga 80-an.

Mengulas lanjut mengenai kes melibatkan warga emas, Muhammad menekankan bahawa punca utama kematian mereka biasa­nya disebabkan oleh penyakit kronik seperti sakit jantung.

“Dalam usaha mencegah dan mengurangkan kes SDR pada masa hadapan, masyarakat dimohon agar lebih peka dengan keadaan ahli keluarga, rakan atau jiran yang tinggal bersendirian terutama warga emas, OKU dan anak kecil.

“Sentiasa ambil tahu keadaan mereka dan maklumkan kepada keluarga atau pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kebimbangan mengenai keselamatan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN