KEMARAU skuad sepak takraw negara terus berlarutan selama 33 tahun apabila terpaksa akur tewas 0-2 kepada musuh tradisi, Thailand dalam aksi final regu berpasukan Piala Raja Thai 2024 semalam.
Ketiadaan tekong ’emas’ negara, Muhammad Syahir Rosdi yang mengalami kecederaan ternyata memberi kesan cukup besar apabila skuad kendalian Ahmad Jais Baharun gagal mencuri satu mata untuk menandingi kehebatan tuan rumah.
Ahmad Jais menuntut anak-anak buahnya segera bangkit kerana tahun depan skuad negara mempunyai misi cukup besar menghadapi beberapa kejohanan cukup penting seperti Piala Asia 2024 di Malaysia dan juga Sukan SEA Bangkok, Thailand.
“Secara peribadi saya lihat terdapat sedikit pengurangan prestasi pemain negara khususnya menerusi kawalan bola dan juga serangan tekong kita. Itu antara membataskan pasukan kita bergelar juara untuk mengatasi Thailand.
“Posisi tekong, variasi serangan serta konsistensi ada kelemahan. Kita perlu perbaiki dari semasa ke semasa. Paling penting kita perlu dapat melahirkan lebih ramai tekong berkaliber untuk menjadi pemain utama atau tunjang kepada regu berpasukan negara.
“Kita tak boleh menoleh ke belakang dan perlu bergerak lebih laju sekiranya ingin bergelar juara acara berpasukan. Saya akui ketiadaan Syahir memberi kesan kepada pasukan. Jadi, kita perlu memantapkan prestasi negara bermula sekarang,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Ahmad Jais turut berharap pemain-pemain yang beraksi pada Sepak Takraw League (STL) 2024 mempamerkan aksi terbaik agar mempunyai pilihan menyerap mereka yang terbaik ke dalam program kebangsaan tahun depan.
“Buat masa ini, kita telah kenal pasti beberapa pemain. Cuma kita harapkan pemain tersebut buktikan mereka layak bersama pasukan negara,” katanya.
Kali terakhir Malaysia menewaskan skuad Gajah Perang itu dalam acara berpasukan adalah pada perlawanan akhir Sukan SEA 1991 di Manila, Filipina.
Biarpun gagal menamatkan kemarau kejuaraan acara berpasukan, namun Malaysia masih berjaya membawa pulang satu gelaran apabila menjuarai regu lelaki selepas memenangi kesemua empat perlawanan yang dilangsungkan secara liga sepusingan.