KEWUJUDAN replika tanjak bersaiz besar di Lobi Utama, KL Sentral, Bangsar, Kuala Lumpur berjaya menarik perhatian Mohd. Nabil Ahmad Zawawi, 28, untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Dia kemudian masuk ke satu ruang bagi melihat apa yang ada di dalamnya.
Apabila masuk ke ruang tersebut, dia terkejut melihat pelbagai jenis hiasan kepala sedang dipamerkan.
“Kebetulan saya melalui kawasan ini, replika tanjak berkenaan telah menarik perhatian saya.
“Apabila masuk ke ruang ini, saya melihat pelbagai jenis hiasan kepala dipamerkan.
“Saya membaca satu persatu keterangan mengenai hiasan kepala yang dipamerkan untuk mengetahui dengan lebih lanjut,” katanya kepada K2.
Mohd. Nabil merupakan salah seorang individu yang tidak melepaskan peluang untuk melihat Pameran Hiasan Kepala Tradisional ASEAN yang di KL Sentral baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pemuda yang menetap di ibu kota itu berkata, sebelum ini, dia jarang mengambil tahu tentang hiasan kepala.
Namun, melalui pemeran itu, dia baru sedar bahawa hiasan kepala merupakan identiti untuk sesuatu masyarakat di sesebuah negara.
“Melalui pameran ini, saya dapat mengenali sejarah dan keunikan hiasan kepala yang dipamerkan.
“Malah, saya sendiri tertarik melihat hiasan kepala dari Indonesia yang dinamakan sebagai lembu suro kerana bentuknya yang begitu unik,” jelasnya.

Untuk makluman, Pameran Hiasan Kepala Tradisional ASEAN dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sempena Program ASEAN Heritage Train (AHT).
Pameran berkonsepkan replika destar atau tengkolok ‘Dendam Tak Sudah’ itu mengetengahkan 23 hiasan kepala mewakili negara-negara ASEAN termasuk Malaysia.
Antara hiasan kepala dari negara-negara ASEAN yang dipamerkan termasuk dastar teruna dari Brunei, lembu suro (Indonesia), rud klao yod (Thailand), aspara crown (Kemboja) dan banyak lagi.
Mengulas tentang hiasan kepala dipamerkan, wakil dari Brunei, Pg. Md. Fauzie Pg. Zainal Abidin berkata, dastar teruna hampir sama dengan tanjak di Malaysia.
Menurutnya, dastar teruna diberi ‘penambat’ oleh orang yang menciptanya.
“Dastar teruna diberi nama disebabkan yang memakainya pada ketika itu masih bujang, tetapi kini mereka yang telah berkahwin juga boleh menggunakannya.
“Apa yang membezakan dastar teruna adalah perbezaan cara lipatannya dan ia mempunyai lipatan seakan-akan tangga.
“Bagi orang biasa, ia mempunyai lipatan tiga tangga dan untuk kerabat diraja, ia memiliki lima lipatan tangga ke atas,” ujarnya.
Tambahnya, material yang digunakan untuk menghasilkan dastar teruna adalah kain tenunan Brunei.

Selain itu, Md. Fauzie memaklumkan, antara hiasan kepala lain yang digunakan di Brunei adalah songkok.
“Songkok ini dikelilingi aksesori yang kita panggil sebagai pisnin dan dipakai oleh pengantin lelaki pada malam berbedak sebelum upacara pernikahan berlangsung,” ujarnya.
Bagi Indonesia pula, hiasan kepala yang dipamerkan pada pameran itu dikenali sebagai lembu suro.
Wakil dari Indonesia, Otniel Tasman berkata, lembu suro adalah pakaian khayalan yang digunakan untuk menyambut tahun baharu Jawa di Jawa Tengah.
“Untuk pakaian ini, ia mempunyai hiasan kepala yang dihasilkan daripada kain dan sedikit plastik dengan mempunyai bentuk tanduk lembu.
“Lembu suro ini mempunyai satu kisah simbolik di Jawa tengah.
“Masyarakat Jawa Tengah mempercayai nenek moyang dan salah satu upacaranya adalah merayakan ‘Suro’ iaitu kalender tahun baharu Jawa,” katanya.
Sementara itu, menurut Ketua Pengarah JKKN, Amran Mohd. Haris, tujuan utama pameran itu diadakan adalah untuk memperkenalkan hiasan kepala di negara-negara ASEAN.
“Apabila kita menyebut tentang seni budaya ASEAN, ia memiliki kesenian yang tertentu dari segi bentuk tarian, pakaian dan lain-lain.
“Malah, kita juga lihat negara-negara ASEAN juga memiliki hiasan kepala yang tersendiri.
“Oleh itu, melalui pameran ini, kami memperkenalkan tentang budaya dan sejarah hiasan kepala itu sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Amran berkata, di Malaysia, terdapat pelbagai hiasan kepala yang tidak diketahui ramai.
“Jadi melalui pameran ini, para pengunjung bukan hanya boleh melihat hiasan kepala dari negara-negara ASEAN, malah hiasan kepala dari negara kita sendiri. Ada antaranya hampir tidak dikenali.
“Kita ada hiasan kepala seperti justar dan tanjak gajah gemulung dan ia hampir tidak dikenali oleh kebanyakan masyarakat,” jelasnya.
Tambah Amran, pihaknya juga membawa beberapa hiasan kepala di negara ini untuk diperkenalkan kepada para pengunjung.
Justar antara hiasan kepala di Malaysia yang ramai tidak tahu akan kewujudannya.
Justar adalah sejenis hiasan kepala yang dipakai untuk majlis perkahwinan, khatan dan majlis khas.
“Pada waktu dahulu, justar diperbuat daripada bahan seperti tali jut untuk membentuk destar.
“Kemudian, tali jut dibalut dengan kain dan dihias cantik.
“Terdapat juga justar yang disalut emas atau bahan logam.
“Bagi tujuan kekemasan, justar akan dilekatkan dengan bahan yang berkilat atau emas permata,” ujarnya.
Tujuan utama justar dipakai adalah sebagai perhiasan kepala untuk membezakan tetamu dengan mereka yang terlibat dalam sesebuah majlis.
Begitu juga untuk hiasan kepala tanjak gajah gemulung yang ramai tidak tahu akan kisahnya.
“Gajah gemulung bermaksud gajah yang gadingnya bergulung.
“Tanjak ini dipakai oleh orang yang banyak berjasa besar dan menabur bakti pada masyarakat.
“Gading gajah bergulung hanya ada pada gajah yang sangat tua,” katanya.
Sebenarnya, gading bergulung melambangkan jasa dan bukti yang besar dalam tempoh lama sehingga diingat sampai bila-bila, walaupun orangnya sudah meninggal dunia.
Bentuk tanjak berkenaan telah disahkan daripada sumber gambar lama dan catatan yang bertulis, Gajah Gemulong.














