PUTRAJAYA – Tindakan sindiket pelaburan palsu menggunakan ‘orang dalam’ institusi perbankan adalah sangat bahaya kerana ia menyebabkan lebih ramai peminjam akan mudah tertipu.
Pensyarah Pusat Kajian Keselamatan Siber Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Masnizah Mohd. berkata, peranan pegawai bank sangat penting yang menguruskan sesuatu pinjaman.
Menurutnya, banker mengetahui selok-belok bagaimana sesuatu pinjaman tersebut mudah diluluskan.
“Scammer pula sentiasa mengkaji human nature, maksudnya dia akan menggunakan entiti seperti banker untuk raih kepercayaan orang ramai.
“Apabila guna banker sebagai modus operandi, itu merupakan satu pendekatan yang tepat. Mereka yang berada dalam platform penipuan ini tahu di mana lompong-lompong yang ada bagi meyakinkan lagi mangsa.
“Jadi apabila banker sendiri yang menyatakan terdapat pelaburan sah dan menguntungkan, orang ramai akan lebih mudah percaya dan kemudian menyertai pelaburan,” katanya kepada Kosmo!.
Dr. Masnizah berkata, bagi mengelakkan kegiatan itu daripada terus berlaku, satu aspek pencegahan perlu segera dilakukan melibatkan pelbagai pihak terutama Bank Negara Malaysia.
“Apa-apa pelaburan tidak wujud perlu ada satu amaran yang sangat keras. Pelbagai pihak juga perlu adakan pendidikan lebih berkesan kepada masyarakat bagi membendung perkara ini daripada terus berlaku.
“Tindakan terhadap pegawai bank yang berkomplot juga perlu diambil,” ujarnya.














