KUALA SELANGOR – Seorang wanita yang tergamak mendera anak tunggalnya yang berusia lima tahun dipercayai sering hilang pertimbangan gara-gara penglibatannya dalam pengambilan dadah.
Teman lelakinya yang terlibat dalam kejadian itu turut disahkan sebagai penagih dadah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin berkata, perkara tersebut diketahui hasil siasatan awal terhadap suspek wanita berusia 32 tahun yang kini dalam proses reman selama lima hari bermula kelmarin.
Katanya, siasatan mendapati suspek wanita tersebut telah terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak tiga tahun lalu.
“Ibu mangsa dan teman lelakinya merupakan penagih dadah dan membuatkan mereka cepat marah dan gagal mengawal emosi.
“Situasi membuatkan kedua-dua suspek cepat naik tangan sekiranya mangsa berusia lima tahun itu membuat kesilapan kecil,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau menambah, siasatan turut mendapati pasangan suspek tersebut telah bercinta sejak setahun lalu.
Ujar Mohd. Ambia, mangsa merupakan anak tunggal yang dijaga suspek selepas bercerai dengan bekas suaminya pada tahun 2020.
Mangsa kini dijaga neneknya sebelum tindakan selanjutnya akan dibuat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Hasil siasatan mendapati suspek wanita itu mempunyai warung makan sekitar daerah ini manakala kekasihnya bekerja sebagai buruh binaan,” katanya
Mohd. Ambia memaklumkan suspek lelaki yang ditahan di Sik, Kedah kira-kira pukul 4.30 petang kelmarin mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan kini direman selama lima hari bermula semalam.
“Hasil ujian air kencing terhadap pasangan suspek tersebut mendapati kedua-duanya positif methamphetamine.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” jelasnya.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun diseksa dipercayai sejak empat tahun lalu dengan cara dicubit, ditumbuk dan disiram dengan air panas oleh ibu kandungnya dan kekasih wanita itu.














