fbpx
Khairul Aming dan Dr. Malar antara pempengaruh yang banyak memberi ilmu kepada masyarakat.

Khairul Aming, Dr. Malar contoh terbaik!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SIAPA sangka dulu buat video masak atas lantai rumah sewa, sekarang duduk bersebelahan perdana menteri sebuah negara terkenal.”

Itu kata pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming yang menerima kunjungan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon pada 3 September lalu sebagai tanda penghargaan untuk video memasak yang dibuatnya ketika berkunjung ke negara berkenaan sebelum ini.

Pertemuan istimewa itu satu pencapaian membanggakan buat Khairul Aming sekali gus meletakkan beliau di satu standard tinggi untuk dicontohi rakyat Malaysia.

Mengikuti perkembangan karier anak muda ini dari awal, pencapaiannya bukan biasa-biasa. Menghasilkan konten masakan yang menarik, video-video itu meraih tontonan cukup tinggi, malah ramai menjadikan menu perkongsiannya sumber rezeki terutama bulan Ramadan.

Dinobatkan sebagai Creator Of The Year, TikTok Awards Malaysia 2023, Khairul Aming menekankan aspek pendidikan dan kandungan yang bermanfaat.

Tatkala ramai anak muda berlumba-lumba untuk menjadi pempengaruh, dia menitipkan pesanan habiskan dahulu belajar agar boleh menjadi pencipta kandungan yang berkualiti dan beradab.

Perkara sama turut disuarakan pempengaruh Dr. Malar. Tegasnya, ramai pelajar cenderung untuk bergelar YouTuber dan TikToker hingga hilang minat belajar.

Golongan ini percaya akademik tidak penting kerana boleh hidup senang-lenang apabila bergelar pempengaruh.

Hakikatnya, apa yang digula-gulakan mengenai influencer tidak semuanya indah. Untuk berada di tempat Khairul Aming, Dr. Malar dan ramai lagi pempengaruh hebat lain, kita dapat lihat betapa pentingnya ilmu dalam menghasilkan kandungan berkualiti dan bermanfaat.

Cara melihat sesuatu perkara, melontarkan idea, pandangan dan perkongsian berbeza jika pempengaruh itu berpendidikan.

Jika mahu jadi ‘influencer’, silakan tetapi biarlah yang berkualiti, bijak dan beretika. Bukan sekadar mengejar populariti dan mahu tular dengan kandungan ‘merapu meraban’.

Memalukan apabila ada yang tergamak melondehkan maruah dengan perkongsian murahan termasuk kisah dalam kain.

Itu belum sentuh lagi perihal konten biadab dan mengaibkan orang lain dalam audio siar (podcast), TikTok dan platform lain demi tular.

Teringat kata-kata pempengaruh Kasih Iris Leona yang mengingatkan podcaster agar menghasilkan konten berkualiti tanpa melakukan perkara bodoh demi mengejar sensasi.

Begitu juga selebriti jelita Amelia Henderson yang mengutamakan etika sewaktu mengendalikan program audio siar miliknya, Studio Sembang sejak Oktober 2022.

Mengundang tetamu yang datang daripada pelbagai latar belakang termasuk selebriti dan tokoh politik, beliau akan memastikan program itu kaya unsur pendidikan dan memberi inspirasi kepada masyarakat.

Inilah yang kita mahu, tabik hormat buat semua pempengaruh dan pencipta kandungan yang menyajikan konten berkualiti dan membina. Kalian hebat!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN