PERJALANAN kami ‘pusing’ Semenanjung Malaysia bermula dari Balik Pulau, Pulau Pinang dan berakhir di Perlis.
Trip ini disertai oleh Mohammad Izzudin, Nur Aquilah, Aisy Aydin, Zayn Aydin dan Dian Aydin.
Untuk makluman, ini merupakan trip kali ketiga dengan laluan berbeza.
Perjalanan hari pertama mengambil masa lebih kurang tiga jam 20 minit dari Balik Pulau ke Kampung Gepeh Hulu, Perak dengan menelusuri jalan agak mencabar.
Kami menginap di chalet buluh dengan kemudahan terhad, namun ia terletak berhadapan sungai dengan menawarkan pemandangan cantik.
Kami meneruskan perjalanan melalui Manong, Parit (Perak) dan melawat sekitar Tanjung Karang, Selangor sebelum diteruskan ke Kuala Selangor.
Pada sebelah malam, kami menaiki bot menelusuri Sungai Selangor untuk melihat kelip-kelip.
Keesokannya, kami meneruskan perjalanan ke Port Dickson, Negeri Sembilan. Kami singgah makan di Grobok Salai menikmati masak lemak cili api, sebelum menginap di chalet menghadap laut.
Pada sebelah petang, kami berkesempatan singgah ke pusat konservasi dan penerangan penyu Padang Kemunting, Masjid Tanah, Melaka.
Kami melihat sendiri proses konservasi dan pameran penyu. Kemudian, kami meronda-ronda di Bandar Melaka.
Pada hari empat, perjalanan kami diteruskan dari Melaka ke Tangkak, Johor.
Kami singgah makan asam pedas di Parit Jawa iaitu di restoran Asam Pedas Yahya dan bermalam di Muar.
Pada sebelah malam, kami menerokai bandar Tangkak dan Muar.
Pada hari kelima, kami meneruskan perjalanan ke Kuantan, Pahang.
Perjalanan menuju ke Kuantan diteruskan dengan lawatan ke Gunung Ledang dan kawasan sekitarnya.
Selepas itu, kami singgah di Segamat untuk minum cendol segar di situ.
Sewaktu perjalanan ke Kuantan, kami juga tidak melepaskan peluang berhenti makan durian di tepi jalan.
Kami tiba di Kuantan pada waktu senja. Jadi, kami mengambil kesempatan untuk berjalan di sekitar bandar berkenaan pada waktu malam.
Ketika kunjungan kami, semua peniaga di Pasar Sera berpakaian tradisional.
Orang ramai menonton siaran langsung perkahwinan diraja antara Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan FD Idzham FD Iskandar.
Pada hari keenam, kami berjalan-jalan di sekitar Pantai Teluk Cempedak dan sarapan pagi di sekitar Kuantan.
Kami teruskan perjalanan ke Kemaman, Terengganu selepas itu. Dalam perjalanan, kami berhenti di Kijal beli lemang dan perjalan diteruskan hingga ke Kuala Terengganu.
Setibanya di sana, kami jalan-jalan di sekitar Kuala Terengganu untuk mengimbau kenangan zaman belajar di Universiti Malaysia Terengganu.
Pada hari ketujuh, kami bertolak ke Pulau Redang menerusi Jeti Merang.
Kami menginap di pulau tersebut selama tiga hari dua malam sebelum perjalanan diteruskan ke Pantai Penarik hingga ke Pantai Cahaya Bulan, Kelantan.
Perjalanan hari ke-10 terhenti di Kota Bharu. Pada hari berikutnya, kami ronda-ronda di sekitar Kota Bharu ke Rantau Panjang dengan niat untuk mencari makanan Thailand.
Kami tidak merancang hendak masuk ke Thailand. Namun, akhirnya kami memilih untuk masuk ke negara jiran melalui Sungai Golok.
Kami terus beli insurans dan masuk ke Thailand melalui pintu sempadan Rantau Panjang-Sungai Golok, sebelum ke Narathiwat.
Keesokannya, kami meneruskan perjalanan ke Hatyai melewati Pattani.
Pada hari terakhir, kami balik ke Malaysia melalui pintu sempadan Sadao-Bukit kayu hitam. Perjalanan diteruskan dengan menuju ke Pulau Pinang melalui Perlis.
















