fbpx
ENGGAN statik dalam liga yang sama, tahun ini Nadhir Nasar mula terjun ke gelanggang pengarahan memberi sentuhan dalam pembikinan video muzik, iklan dan filem pendek sebagai permulaan sebelum duduk di kerusi sutradara naskhah layar perak suatu hari nanti.

‘Saya ada masalah tak suka tengok muka sama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERMULA dengan impian yang kini dibentuk menjadi cita-cita, pelakon Nadhir Nasar membuktikan keinginan menjadi versatil yang keluar mulutnya bukan cakap kosong.

Enggan berpaling, juara Hero Remaja itu memulakan langkah berani bergelar pengarah apabila terlibat dengan pembikinan video muzik, iklan dan filem pendek pada tahun ini.

Minat terhadap dunia pengarahan yang mendalam membuatkan pemilik nama lengkap Ahmad Nadhir Ahmad Nasar menyimpan impian untuk mengarahkan sebuah filem suatu masa nanti menerusi syarikat produksinya, Paradice Pictures.

Katanya, pengarahan dan lakonan merupakan perkara berbeza yang seronok untuk dilakukan apabila memberikan kepuasan tersendiri.

“Alhamdulillah, tahun ini saya ada mengarahkan video muzik untuk Daiyan Trisha berjudul My Home Is In Your Arms dan iklan raya jenama Bulan Bintang.

“Itu langkah pertama saya untuk terjun ke arena pengarahan. Bagi saya berlakon adalah hobi manakala mengarah merupakan minat saya.

“Kelainan dalam kerja pengarahan dan berlakon sangat berbeza, bahkan kepuasannya juga lain tetapi saya teruja mendalami kedua-duanya,” katanya kepada HibGlam.

DEMI kualiti lakonan, Nadhir hanya akan menerima beberapa naskhah dalam setahun. – SADDAM YUSOFF

Bagaimanapun, jejaka kelahiran Amerika Syarikat itu tidak pernah mengetepikan karier lakonan yang menjadikannya lebih dikenali dalam kalangan peminat.

Sehingga kini, pelakon berusia 28 tahun itu masih mahu memberikan tumpuan terhadap lakonan bagi melepaskan rindu buat peminat yang tertunggu-tunggu naskhah baharu daripadanya.

“Saya baru mengarahkan video muzik dan filem pendek sebab tidak bersedia lagi mahu buat filem.

“Satu hari nanti mungkin saya akan buat filem tetapi bukan sekarang kerana permintaan untuk berada di hadapan kamera masih tinggi,” jelasnya.

Bagi Nadhir, biarpun pengarahan kini banyak mencuri minatnya, lakonan tetap tidak akan dipinggirkan.

“Saya belum terfikir untuk terjun ke dalam belakang tabir 100 peratus. Selagi saya boleh berikan terbaik untuk kedua-dua bidang, saya cuba.

“Saya ada latar belakang dalam bidang penyiaran, saya belajar tentang kamera. Sebelum jadi pelakon saya merupakan ‘audioman’.

“Matlamat utama saya memang nak mengarahkan filem dan berlakon dalam filem yang boleh box office (pecah panggung),” tutur pelakon dan model itu.

DALAM drama terbaharunya, Kelas Tahanan Cikgu Hiragi Nadhir seronok bergandingan dengan pelakon-pelakon baharu yang serius mahu berada dalam industri.

Cikgu Hiragi

Dalam perkembangan lain, Nadhir bakal muncul dengan naskhah terbaharu berjudul Kelas Tahanan Cikgu Hiragi yang merupakan adaptasi daripada drama Jepun iaitu Mr. Hiiragi’s Homeroom.

Sering beraksi sebagai pelajar, ini kali pertama dia memegang watak sebagai guru dalam drama arahan Michael Ang yang bakal disiarkan pada 25 September nanti.

“Watak ini saya rasa agak berlainan daripada apa yang pernah saya dah buat sebelum ini. Dari seorang pelajar bertukar menjadi guru.

“Bagaimanapun, masih ada sisi Nadhir Nasar yang saya suntikkan dalam karakter ini.

“Nak kata berat, tak sangat sebab saya masih boleh sampaikan sesuatu kepada penonton,” ujarnya.

Enggan terikat dengan drama asal, bintang Projek: High Council itu mengelak daripada menonton Mr. Hiiragi’s Homeroom demi karakter Cikgu Hiragi versi sendiri.

“Saya hanya tonton satu daripada 10 episod sebab skrip yang berbeza. Lagipun karakter Cikgu Hiragi memang sangat berlainan.

“Selalunya bila tengok drama asal saya akan buat perbandingan diri sendiri. Jadi saya cipta sendiri karakter tersebut.

“Pada akhirnya, kita percaya dengan kerja yang kita sudah lakukan,” jelas anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Nadhir kini ligat dengan kerja-kerja belakang tabir seperti mengarahkan video muzik, iklan dan filem pendek sebagai persediaan menjadi pengarah filem suatu hari nanti.

Pelapis baharu

Dalam masa sama Nadhir juga seronok digandingkan dengan muka-muka baharu sekali gus menghilangkan kebosanan melihat wajah pelakon sama.

“Saya sangat suka semua barisan pelakon drama Kelas Tahanan Cikgu Hiragi. Mereka sudah beri sepenuh usaha dalam menjayakan drama ini.

“Mereka nampak serius untuk berada dalam industri. Itu benda yang kita nak lihat sebenarnya.

“Tambah pula saya dah penat tengok pelakon sama, jadi kemunculan pelapis baharu boleh mengelakkan perkara tersebut berlaku.

“Saya ada masalah tak suka tengok muka sama, termasuk diri saya sendiri. Itu sebab saya akan ada masa rehat selepas terlibat dengan sesebuah naskhah,” jelasnya.

NADHIR akan muncul membawakan watak Cikgu Hiragi dalam naskhah Kelas Tahanan Cikgu Hiragi yang bakal ditayangkan pada 25 September nanti menerusi Astro Ria.

Selektif

Ditanya adakah sememangnya dia selektif dalam lakonan, Nadhir tidak menidakkan perkara berkenaan demi kepentingan diri buat jangka masa panjang.

“Ya, saya selektif dan rasanya semua pelakon pun perlu ada sifat sebegitu.

“Akhirnya, kita bekerja untuk kualiti. Kerja dalam satu pasukan, kalau tidak boleh sampaikan, kita akan susahkan orang lain.

“Kalau asyik bekerja, kita sendiri tidak tahu apa yang kita buat sebagai pelakon dan itu boleh jadi punca kualiti lakonan merudum,” tuturnya.

Nadhir bagaimanapun memuji sikap pelakon yang aktif mengaut semua tawaran ketika nama menjadi sebutan memandangkan dirinya tidak mampu berbuat demikian.

“Tiada yang betul atau salah kalau seseorang berusaha kaut semua kerja semasa tengah meningkat naik.

“Memang bagus tetapi perkara tersebut tidak berhasil buat saya. Kalau saya tetap lakukan, kualiti saya akan menurun.

“Saya memilih kualiti berbanding kuantiti dan sebab itu kalau orang tengok saya hanya buat satu atau dua drama sahaja,” katanya.

NADHIR tidak berprasangka jika ada pelakon yang mengaut segala tawaran lakonan demi wang.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN