PETALING JAYA – Seorang wanita tidak menyangka tindakannya mencuba lipstik yang dipamerkan di sebuah farmasi di Lembah Klang telah mengundang padah apabila dia disahkan dijangkiti penyakit herpes.
Berkongsi perkara itu, Anita, 31, yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, kejadian berlaku pada awal tahun lalu menyebabkan kehidupannya berubah sekelip mata.
“Saya kena penyakit ini (herpes) selepas mencuba barangan tester yang terdapat di sebuah premis menjual barangan penjagaan diri.
“Selepas hampir seminggu mencuba, mulut saya mula dijangkiti ruam dan melecur pada bahagian bibir. Selain itu, saya juga mengalami kesukaran untuk makan dan minum.
“Malah, saya terpaksa memakai pelitup muka untuk keluar rumah bagi menutupi kesan ruam pada mulut,” katanya.
Mengulas lanjut, Anita berkata, susulan kejadian itu, dia telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Taman Tun Dr. Ismail.
“Doktor mengesahkan saya dijangkiti penyakit herpes HSV-1. Doktor kemudian memberi ubat antiviral kepada saya selama seminggu dan kini penyakit itu hilang sepenuhnya.
“Saya bernasib baik kerana mendapatkan rawatan awal. Sekiranya lambat ke klinik, kemungkinan penyakit ini akan merebak dan menjangkiti ahli keluarga yang lain,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pereka hiasan dalaman yang mahu dikenali sebagai Nur, 35, berkata, dia turut disahkan dijangkiti herpes HSV-1 selepas mengalami ruam yang teruk di bahagian atas bibir.
“Saya merasai kesakitan dan kepedihan semasa ruam itu baru muncul di atas bibir. Ia sangat gatal dan kering.
“Puas saya buat ‘research’ sendiri di internet punca dan cara merawat ruam itu.
“Saya ada dapat carian mengenai simptom saya ini ialah herpes Type 1, tetapi saya macam tak percaya. Jadi, saya cuma biarkan dan sapu krim untuk gatal-gatal yang sedia ada di rumah sahaja pada ketika itu,” katanya.
Bagaimanapun Nur berkata, dia akhirnya akur untuk dapatkan nasihat doktor berikutan ruam di bahagian atas bibir itu semakin teruk.














