KUALA LUMPUR – Dianggarkan lebih 100,000 pembantu rumah warga Indonesia tidak mempunyai permit kerja yang sah di negara ini, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono.
Hermono memberitahu, hanya sekitar 60,000 amah yang bekerja di negara ini secara sah.
Katanya, masalah tersebut menjadi perhatian utama kedua-dua negara dalam menangani kebanjiran pembantu rumah dari negaranya yang bekerja di sini tanpa permit.
“Kami harap ada semacam kempen lebih agresif untuk tidak mengambil pekerja yang tiada permit kerja kerana ini melanggar undang-undang Malaysia.
“Kita harap ada penguatkuasaan terhadap majikan-majikan yang mengambil pekerja asing tanpa izin di Malaysia,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Beliau berkata, secara keseluruhannya berdasarkan data terakhir, rakyatnya yang memiliki permit kerja di negara ini sekitar 560,000 orang.
“Mereka yang tidak memiliki pas kerja, angka itu kita tidak tahu secara tepat, tetapi saya jangka ada sekitar 1 juta orang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














