JERANTUT – Durian kampung premium, damak king yang mula gugur seminggu lalu terus mendapat permintaan menggalakkan daripada penggemarnya meskipun dijual pada harga RM45 hingga RM55 sekilogram.
Peraih durian kampung, Zulkifly Mahmud, 59, berkata, durian damak king yang dijangka rancak gugur mulai awal September ini sudah mendapat banyak tempahan daripada orang ramai.
Katanya, seramai 12 pekebun yang memiliki pokok durian jenis ini pada awalnya menjangkakan buah tidak menjadi berikutan cuaca panas dan tidak menentu.
Namun ujarnya, selepas hujan turun, ada pokok yang masih mengekalkan putik mula membesar sehingga matang dan dijangka gugur tidak lama lagi.
“Rasa isi damak king lebih sedap dan aromanya mengujakan antara faktor ia menambat hati pelanggan.
“Ia mengatasi jualan musang king dan durian premium kampung jenis lain di kampung tersebut sejak beberapa musim lalu seperti mas hijau, kulit buaya, naga emas, aji Aziz dan beberapa jenis durian lain hasil tanaman pekebun di Lembah Durian, Kampung Damak,” katanya katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, damak king yang mempunyai rasa lemak manis, sedikit pahit dan aromanya menusuk ke hidung selepas dibelah sekali gus menarik selera penggemar yang pertama kali ingin menikmati isi buah tersebut dan harganya meningkat setiap musim.
Sementara itu, seorang peniaga durian, Ahmad Mustapha, 46, pula berkata, damak king tidak mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat termasuk daripada penggemar durian dari luar negeri Pahang.
“Pada musim ini jualannya agak terhad kerana damak king cuma berbuah di beberapa pokok milik pekebun di sini dan difahamkan buah tidak sebanyak seperti sebelum ini.
“Durian damak king dijual antara RM45 hingga RM55 sekilogram berasaskan permintaan harian memandangkan buahnya masih berkurangan berbanding pada musim lalu,” katanya.
Tambahnya, durian damak king pada masa ini bukan sahaja digemari oleh orang Melayu, tetapi juga kaum-kaum lain di daerah ini turut menempahnya.
Katanya, selain itu, penggemar durian dari luar Pahang seperti Lembah Kelang turut berkunjung ke sini untuk menikmati keenakan buah tersebut.














