Kes pembunuhan dan kematian mengejut secara berturut-turut sejak kebelakangan ini menjadikan rakyat seolah-olah paranoid sehingga menyebabkan seorang wanita bertindak terjun dari kereta kerana disangka diculik pemandu e-hailing.
Kes di Johor Bahru itu berlaku disebabkan salah faham selepas pemandu menggunakan laluan alternatif tanpa memaklumkan kepada penumpangnya. Pada 6 Ogos lalu, seorang budak perempuan didakwa hilang di Kajang, namun dijumpai tidak lama kemudian. Rupa-rupanya mangsa tersilap turun lif ke tingkat paling bawah.
Situasi ini secara tidak langsung menggambarkan gangguan emosi dialami masyarakat yang trauma dengan kes jenayah ketika ini.
Pegawai Psikologi Kanan Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, secara psikologi rasa takut peringkat awal ini adalah suatu perkara bagus kerana ia menjadikan individu itu sentiasa waspada.
“Perasaan takut ini jadi tidak baik jika ada kebimbangan melampau sehingga mengganggu fikiran dan mengambil tindakan terburu-buru. Jika berita jenayah itu menyebabkan seseorang takut atau bimbang melampau melebihi dua minggu, ini tidak normal, itu gangguan psikosis,” katanya kepada Kosmo!.
Antara perubahan sikap yang boleh dinilai adalah individu itu tidak lagi percaya orang lain termasuk ahli keluarga, takut bertemu orang luar dan menganggap dunia tidak lagi selamat.
“Kita lihat kes wanita yang terjun dari kereta e-hailing, dia bukan mengalami anxiety. Jika benar dia tidak akan naik kenderaan itu, tetapi lebih kepada gangguan mental kerana rasa takut yang teramat.
“Lihat simptom kecelaruan ini, adakah mereka mengalami gangguan pemikiran, sejauh mana tahap kebimbangan itu?
“Jika dia masih boleh terima nasihat orang lain, mampu membezakan realiti dan fantasi itu tandanya rasa takut yang dialaminya normal,” ujarnya.
Jelas beliau, stigma masyarakat bahawa gangguan mental itu penyakit gila harus diperbetulkan. Hari ini sesiapa sahaja boleh mengalami kecelaruan itu dan ia perlu dirawat segera.
“Zaman sekarang isu kesihatan mental adalah pembunuh dalam diam. Gangguan ini sama seperti penyakit fizikal yang perlukan rawatan. Tiada sesiapapun yang terkecuali.
“Ia boleh terjadi kerana tekanan hidup, taraf sosioekonomi yang rendah dan sejarah trauma. Masyarakat pada hari ini perlu bersama-sama memainkan peranan mengenal pasti perubahan sikap orang sekeliling.
“Ada mata pandang, telinga mendengar dan mulut menyampaikan. Sekarang memang ‘kena tepi kain orang orang’, bukan kerana ingin menyibuk, tetapi prihatin.
“Jika ada perubahan seseorang itu menjadi pendiam, berat badannya naik atau turun secara mendadak, sering menyalahkan diri, laras bahasa yang tidak baik atau beremosi, bantu dia dengan mendapatkan rawatan psikiatri dan klinikal psikologi,” kata beliau.
Tambahnya, gangguan pemikiran yang tidak dibantu mampu menjadikan seseorang itu berdelusi dan berhalusinasi dengan mengada-adakan perkara tidak nyata dan akhirnya berpotensi membawa kejadian tidak diingini atau membahayakan diri sendiri serta orang di sekelilingnya.














