ALOR SETAR – “Saya hilang rumah gara-gara percaya bomoh boleh rawat penyakit. Hampir setahun saya jumpa bomoh sebelum doktor sahkan saya mengalami kanser otak tahap empat”.
Demikian luah warga emas, Che Intan Mat Zain, 62, yang kehilangan rumah akibat tidak dapat membuat bayaran bulanan kerana banyak wang dihabiskan untuk rawatan bomoh, kira-kira 14 tahun lalu.
“Selain banyak berhabis wang ringgit, saya juga terlewat mendapatkan rawatan sehingga akhirnya disahkan menghidap kanser otak tahap empat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Katanya, dia mula mengalami masalah kesihatan pada 2010 ketika bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang.
“Pada masa itu, saya kurang selera makan selain kerap muntah dan terjatuh dengan berat turun daripada 62 kilogram (kg) kepada 36 kg sebelum mendapatkan rawatan bomoh,” ujarnya.
Menurutnya, dia kemudian mendapatkan rawatan bomoh di Bukit Mertajam, Pulau Pinang atas cadangan seorang rakan dan bomoh itu beritahu ada hantu pegang kaki saya,
sebab itu saya kerap terjatuh.
“Setahun juga saya dapatkan rawatan bomoh itu, banyak benda pelik-pelik dia minta saya sediakan seperti kain kapan orang mati, tanah kubur dan burung mati bercinta.
“Barang-barang yang tidak dapat saya sediakan, bomoh itu mendakwa dia boleh sediakan tetapi dengan bayaran antara RM200 hingga RM400. Ritualnya juga pelik dengan asap kemenyan serta jampi yang tidak difahami selain ada meminta saya tanam patung yang dicucuk dengan jarum,” katanya.
Katanya, rawatan bomoh itu tidak membuatkan sakit berkurangan, malah menjadi lebih teruk termasuk dia hidup dalam ketakutan akibat dimomokkan dengan gangguan hantu.
“Saya jadi takut walaupun berada di dalam rumah sendiri kerana rasa ada orang memerhatikan saya,” ceritanya yang menghabiskan lebih RM50,000 untuk rawatan bomoh
berkenaan.
Ujarnya, keadaan kesihatannya semakin merosot menyebabkan dia membuat keputusan ke klinik swasta sebelum dirujuk ke hospital.
“Kanser saya sudah di tahap empat, namun saya reda dengan ujian ini. Saya juga ingin menasihatkan semua orang terutama pesakit kronik agar tidak mendapatkan
rawatan daripada bomoh yang melakukan amalan khurafat ini,” katanya.
Tambahnya, pengesanan penyakit di peringkat awal sangat penting bagi mengelak ia melarat dan menjadi kronik.














