KANGAR – “Hanya Tuhan sahaja tahu betapa pilunya hati bila mendengar berita wanita dibunuh kejam. Perasaan saya jadi sayu kerana ia membuatkan saya teringat kejadian tragis menimpa anak perempuan kesayangan 24 tahun lalu.”
Demikian kata Harison Husin, 75, ibu kepada jurutera komputer, Allahyarham Noor Suzaily Mukhtar yang maut dibunuh selepas dirogol di dalam sebuah bas ekspres di Klang, Selangor pada 7 Oktober 2000.
Menurutnya, setiap kali dia mengikuti kes-kes sebegitu, hatinya jadi tidak keruan menyebabkan dia terus mengambil wuduk dan menunaikan solat untuk menenangkan diri.
“Bila tahu ada kes bunuh dalam keadaan tragis membabitkan wanita seperti yang berlaku pada arwah cikgu Istiqomah baru-baru ini, perasaan saya jadi pilu kerana terkenangkan adik (nama panggilan Suzaily).
“Perasaan sayu dan pilu yang saya rasa itu seolah-olah kejadian menimpa adik 24 tahun lalu baru berlaku semalam, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Suriani, di sini semalam.
Katanya, dia juga membayangkan bagaimana perasaan keluarga kepada mangsa bunuh tersebut termasuk mereka yang meninggalkan anak kecil.
“Saya terfikir bagaimana mereka nak hadapi kehilangan itu kerana saya pernah merasainya suatu ketika dahulu. Ia bukan perkara mudah dan hanya mereka yang melaluinya sahaja tahu betapa sakitnya kehilangan orang tersayang dalam kejadian tragis.
“Saya sendiri mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih dengan menerima sokongan emosi daripada suami, keluarga, kaunselor dan juga mendapatkan perubatan Islam.
Kira-kira 20 tahun juga perasaan saya tidak dapat stabil sepenuhnya walaupun saya telah menerima kejadian sebagai ketentuan Ilahi,” ujarnya.
Ujarnya, dia kehilangan suami, Mukhtar Ibrahim kira-kira lima tahun lalu dan arwah merupakan antara individu penting sepanjang proses pemulihan emosinya.
“Saya ingat lagi, selepas mengetahui kejadian menimpa adik, saya bagaikan tinggal jasad sahaja kerana tidak lagi boleh berfikir apa-apa. Pada masa itu, saya tidak dapat uruskan diri termasuk untuk makan dan sebagainya, hati jadi kosong.
“Arwah suami beri banyak nasihat kepada saya supaya jangan terlalu lama bersedih kerana ia tidak akan dapat bawa pulang arwah ke pangkuan, selain akan tiba juga masa kita untuk ‘pergi’ sama ada cepat atau lambat. Insya-Allah akan jumpa arwah di sana nanti,” katanya.
Jelasnya, bukan mudah untuk kehilangan satu-satunya anak perempuan yang dibunuh kejam.
Tambahnya, kehidupannya kini tenang dan sentiasa berfikiran positif dengan kehadiran tiga anak, 15 cucu dan dua cicit.














