fbpx
Khalid semakin suka bersolek, mencukur kening, membeli beg tangan wanita selain berpakaian ketat, namun tidak berubah lembut, sebaliknya pembawakan diri ke arah feminin sehingga isterinya naik malu.- Gambar hiasan

Tuntut cerai lepas suami ‘galak’ berimej feminin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERCERAIAN acap kali menjadi jalan terakhir dalam sebuah rumah tangga.

Kadangkala, perceraian juga merupakan jalan terbaik bagi sesetengah pihak untuk hidup dalam keadaan tenang tanpa tekanan.

Menyingkap kembali episod hitam yang terjadi kepada Nora (bukan nama sebenar), dia reda dan menerima suratan takdir buatnya.

Kongsi Nora, dia nekad untuk meminta cerai daripada bekas suaminya, Khalid (bukan nama sebenar) selepas lebih dua tahun menahan malu.

“Perkenalan singkat selama lebih kurang setahun setengah membawa kepada pernikahan kami.

“Khalid seorang suami yang baik, lemah lembut, sopan dalam pertuturan dan sangat hormat kepada orang tua,” katanya memulakan perbualan.

Jelas Nora, suaminya merupakan seorang pensyarah bahasa di sebuah institusi pendidikan terkemuka di Lembah Klang, manakala dia pula berkhidmat sebagai kakitangan sokongan di tempat sama.

Beritahu anak jati kelahiran Muar, Johor itu, ketika awal-awal fasa perkenalan, Khalid seorang yang sangat pemalu dan ramah.

“Sifat pemalu dan ramah itu membuatkan saya jatuh hati kepadanya. Lagipun, tidak ramai lelaki seperti itu ketika ini.

“Jurang usia antara kami pun tidak begitu jauh. Kami hanya dipisahkan lima tahun,” katanya.

Selamat dinikahkan, Nora berpindah dan menetap di kediaman milik suaminya di Petaling Jaya, Selangor bagi memulakan hidup sebagai pasangan suami isteri.

Jelasnya, selepas tiga tahun berkahwin, mereka masih belum dikurniakan zuriat.

Meskipun begitu, mereka menerima dengan lapang dada dan tetap tidak pernah putus asa mencuba.

Tidak lama selepas itu, Nora mula perasan tingkah laku suaminya berubah sedikit demi sedikit.

Katanya, paling ketara apabila suaminya mula ke gimansium bersama kawan-kawan pejabatnya untuk membina otot agar badan lebih sihat.

“Itu okey lagi, paling saya terkejut apabila suami mula mengubah imejnya daripada seorang lelaki normal menjadi lebih feminin.

“Feminin yang saya maksudkan, suami mula rias wajahnya setiap kali hendak keluar ke tempat kerja atau ke mana-mana acara. Perkara itu tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Tidak setakat itu, saya sebagai isteri tersentak apabila suami turut mencukur kening. Terang lagi bersuluh perbuatan itu haram.

“Saya sebagai wanita pun tak pernah ada niat hendak cukur kening, meskipun teringin berbuat demikian kerana melihat rakan-rakan lain turut melakukannya,” katanya.

Jelas Nora, dia ada bertanya kepada suaminya tentang punca berbuat demikian dan respons diberikan sangat mengejutkannya.

“Dia bersolek, cukur kening, misai dan buang semua janggut sebab mahu nampak kemas serta lebih muda dari sebelumnya.

“Lagipun kawan-kawan dia kata, dia kena sentiasa bersiap dan nampak kemas apabila keluar berjumpa orang.

“Kami pun belum ada anak, jadi dia ada banyak masa untuk buat semua itu,” ungkap Nora.

Berbulan menggunakan imej demikian, Khalid juga semakin kelihatan feminin dengan membeli beg berjenama mewah, ala-ala beg wanita untuk dibawa ke tempat kerja.

Tidak sekadar beg tangan, Khalid juga menukar gaya rambut dan mewarnakannya. Dia juga mengenakan seluar dan baju lebih ketat untuk menunjuk otot badannya.

Ujar Nora, dia sangat terkejut dengan ‘perubahan’ pelik suaminya itu.

Namun begitu, Khalid bukan bertukar menjadi lelaki lembut, cuma imej dan pembawaannya sahaja ke arah feminin.

“Di universiti, saya mula mendengar umpatan yang keluar dari mulut rakan-rakan sekerja mengenai perubahan Khalid.

“Mereka kata, Khalid kurang kasih sayang kerana belum dikurniakan anak, walaupun sudah lebih tiga tahun bernikah.

“Ada juga cakap-cakap mengatakan, suami menjadi begitu (feminin) disebabkan mengikut dan terpengaruh dengan rakan-rakannya yang turut berperwatakan begitu,” katanya.

Akui Nora, selain tertekan dengan soal zuriat, dia juga stres dengan isu suaminya sehingga jadi tidak bersemangat untuk ke tempat kerja.

Katanya, ketika pulang ke kampung bersama suami, keluarga juga mengumpat mengenai penampilan ‘baharu’ suaminya itu, selain ada yang jijik dan geli.

Puas berfikir dan berdoa meminta petunjuk, Nora nekad meminta Khalid menceraikannya bagi membolehkan mereka membawa jalan hidup masing-masing.

Tanpa berfikir panjang, Khalid bersetuju menceraikan Nora di sebuah mahkamah syariah.

Bagi Nora, dia tidak menyalahkan Khalid atas apa yang berlaku.

Namun, jauh dalam sudut hati Nora, dia berharap supaya Khalid dapat berubah dan kembali menjadi seorang lelaki sejati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN