“BERKONGSI rezeki dengan orang lain memberi kepuasan yang tidak terhingga.
“Saya pernah mengalami kesusahan hidup termasuk merasai sukarnya kedua-dua orang tua saya mendapatkan makanan yang mencukupi untuk kami adik-beradik ketika masih kecil.”
Demikian kata-kata yang keluar daripada mulut wanita cekal ini tatkala terimbas akan kepayahan yang pernah dirasakan sebelum ini.
Mungkin ramai yang tidak mengenali pemilik nama lengkap dan sosok diri bernama Noraida Aznita Azizan ini.
Pun begitu, jika disebut sambal garing ikan bilis Che’Nor, pasti ramai pernah mendengar dan merasai kelazatannya.
Hakikatnya, Noraida Aznita atau lebih dikenali sebagai Che’Nor merupakan insan hebat di sebalik penubuhan perniagaan dan kejayaan bisnes makanan berasaskan sambal sejak sedekad diasaskan.
Diberi peluang menemu bual wanita kelahiran Jitra, Kedah ini, dia mengakui ramai orang di luar sana termasuk pelanggannya yang tidak mengenali dirinya secara dekat.
Katanya, mereka (pelanggan) lebih mengenali jenama sambalnya iaitu Che’Nor yang banyak dijual dan mudah didapati di pasaran.
Mengakui perniagaan sambal yang diasaskan asbab daripada kesusahan lampau dialami, Che’Nor tidak pernah malu dan bersyukur dapat keluar daripada kepompong kesusahan sekali gus membantu ramai orang.
“Sebelum berniaga, saya pernah merasai kesusahan dan dihimpit hutang keliling pinggang.
“Alhamdulillah saya berjaya melepasi fasa ujian itu dengan asbab sambal Che’Nor dan kini saya komited bantu ramai orang di luar sana yang terbeban hutang untuk bebas daripadanya.
“Pengalaman ini (kesusahan lampau) mendorong saya untuk membantu mereka yang dalam kesukaran dan saya percaya dengan memberi, kita juga akan menerima lebih banyak keberkatan dalam hidup,” katanya kepada Aura.

Diaju bagaimana titik tolak kepada tertubuhnya perniagaan, anak sulung daripada tiga beradik itu sebelumnya pernah berkhidmat sebagai pengurus sumber manusia di sebuah syarikat rangkaian piza asal Filipina.
Katanya, empat tahun bekerja dalam bidang makanan dan minuman mengajarnya pelbagai ilmu terutama berkaitan aspek pengurusan modal insan dan operasi secara keseluruhan.
“Selepas tahun keempat bekerja makan gaji dan ada sedikit wang simpanan, saya terdetik dan jiwa seakan-akan memberontak untuk ada bisnes sendiri.
“Jadi ketika berusia 28 tahun, berbekalkan pengalaman dan modal simpanan sendiri serta suami, saya mula membuka restoran pada tahun 2012 di Bandar Pinggiran Subang, Selangor.
“Dua tahun selepas itu, kami berpindah ke kawasan lebih strategik di Kota Damansara dan restoran kami dijenamakan semula dengan nama Restoran Che’ Nor Cendol Madu.
“Setahun selepas itu, saya terdetik untuk buat sambal garing ikan bilis sendiri kerana saya memang gemarkan sambal dan memang suka makanan asli orang Melayu itu sendiri.
“Maka, terhasillah Sambal Garing Ikan Bilis Che’Nor pada Mac 2015 dan saya nekad berikan sepenuh fokus kepada industri pemprosesan makanan dengan menutup restoran,” katanya.
Menurutnya, melihat peluang besar dalam pasaran sambal kerana sifatnya sebagai bisnes dan produk yang boleh diskalabesarkan selain mudah dikurier membuatkan Che’ Nor sebagai pengusaha pertama mengkomersialkannya.
Jelasnya, setelah hampir 10 tahun berusaha keras bersama team yang setia mengharungi pandemik dan pelbagai cabaran, syarikat sedang mencatatkan perkembangan yang begitu baik.
Katanya, bersempena tahun kesepuluh di pasaran, syarikat turut optimis mencapai pengeluaran hampir 10 juta unit/bekas sambal.
Jelas Che’ Nor, sambutan produknya terletak pada keunikan rasa autentik dan kualiti bahan yang digunakan.
“Produk kami bebas daripada bahan pengawet dan bahan kimia berbahaya.
“Produk Sambal Garing kami tahan lama walaupun diletakkan di suhu bilik serta ringan dan mudah diuruskan.
“Alhamdulillah, kini syarikat sudah ada hampir 40 produk sambal berjenama Che’Nor dan kilang kami ada formulasi hampir 200 jenis resipi sambal diformulasi sendiri,” katanya.
Tambahnya, syarikat juga sudah membuka empat cawangan Che’Nor Outlet Cafe dan memperkenalkan pelbagai jenis menu yang dihidangkan bersama sambal yang mendapat sambutan hangat.
Tidak sekadar itu, mereka bukan sahaja mengeluarkan produk jenama Che’Nor, malah turut membantu lebih 10 jenama lain menghasilkan sambal sekali gus membantu ramai mendapatkan barisan produk sambal ready to eat yang sedap dan mampu milik,” ujarnya.
Hasil usaha dan puas berhempas pulas siang malam tanpa mengenal putus asa turut melayakkannya menerima Emerging Business Of The Year 2018 pada Richworks Titanium Award.
Berkongsi mengenai cabaran berniaga, pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya ini mengakui sememangnya pelbagai ujian getir pernah ditempuhinya.
“Salah satu cabaran terbesar adalah ketika menghadapi masalah kenaikan harga bawang yang melampau pada tahun 2019.
“Kenaikan itu mengakibatkan syarikat kerugian besar kerana terus menerus menjalankan pengeluaran di kilang sedangkan kami beroperasi dalam keadaan rugi hanya untuk pastikan permintaan pelanggan dapat dipenuhi.
“Kami terpaksa mencari penyelesaian yang kreatif untuk memastikan produk sampai kepada pelanggan tepat pada waktu.
“Cabaran lain ketika syarikat perlu membuat keputusan yang besar sama ada perlu atau tidak berpindah ke kilang yang lebih besar dan sedia maklum kosnya adalah sangat tinggi.
“Tetapi jika tidak berpindah ketika itu, kami hanya akan setakat mampu mengeluarkan produk pada margin dan tahap yang sama,” katanya.
Berkongsi mengenai perancangan, Che’Nor memberitahu, bagi 2025, mereka meletakkan matlamat untuk mempunyai 20 cawangan Che’Nor Outlet Cafe di seluruh Malaysia yang bertindak sebagai pusat jualan atau hab pusat pameran.
Menerusinya, pelanggan boleh datang memborong produk Che’ Nor sambil menikmati makanan yang enak dalam suasana kafe yang santai dan selesa.
“Kami juga baru saja perkenalkan dua produk minuman segera iaitu Kokonor dan Kofinor.
“Kokonor adalah minuman coklat yang diperkaya dengan ekstrak kurma dan pomegranate, manakala Kofinor adalah minuman kopi dengan kebaikan kurma dan Arabic gum.
“Insya-Allah, kami juga sedang mempersiapkan kilang untuk melancarkan rangkaian produk snek berasaskan ikan bilis dan cili,” tuturnya.
Tidak sekadar 100 peratus berniaga atau mengejar keuntungan semata-mata, syarikat turut aktif melibatkan diri dan bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir setiap kali bencana ini melanda saban tahun.
Selain itu, sokongan dan bantuan turut tidak dilupakan buat sukarelawan Palestin selain menganjurkan program sosial korporat seperti memberi sumbangan makanan kepada keluarga yang memerlukan di kawasan sekitar kilang miliknya di Subang Jaya.
“Kami juga menganjurkan program latihan untuk membantu usahawan kecil dan wanita memulakan perniagaan.
“Insya-Allah jika diizinkan, program-program ini akan diteruskan dan diperluas lagi pada masa akan datang.
“Saya juga ingin mengajak semua usahawan muda terutamanya wanita untuk tidak takut memulakan perniagaan.
“Sentiasa percaya diri sendiri dan jangan mudah berputus asa. Sertai program-program latihan dan dapatkan mentor untuk bantu anda,” tuturnya.
—
SELAIN sibuk menguruskan hal perniagaan, Noraida Aznita Azizan juga miliki sifat penyayang dalam diri.
Buktinya, dia turut membela kucing sebagai haiwan peliharaan di rumahnya.
Paling menarik dan menjadi tumpuan, bukan seekor dua kucing yang dibela, tetapi 36 ekor keseluruhannya.
“Ya saya ada 36 ekor kucing peliharaan dan kucing-kucing itu ada rumah khas yang saya dan suami bina.
“Bagi saya membela haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW juga merupakan satu terapi dan rezeki,” katanya.
Mengenai penampilannya, Noraida mengakui dia mula berniqab sejak 25 Disember 2021 dan tahun ini memasuki tahun ketiga hijrahnya itu.
“Saya juga ada satu perkara pelik yang saya rasakan mungkin orang lain jarang lakukan. Saya suka dan boleh makan apa saja juadah sambil memandu kereta dalam keadaan selamat.
“Bagi saya ia satu kepuasan dan nikmat. Pun begitu, jangan sesekali ikut apa yang saya lakukan,” katanya seraya tertawa kecil.















